Anak terbakar ketika konsert, keluarga saman sekolah RM5.3 juta  - Utusan Malaysia

Anak terbakar ketika konsert, keluarga saman sekolah RM5.3 juta 

POLIS mengawal Gereja Croydon di London selepas insiden kebakaran berlaku.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sepuluh tahun yang cedera parah apabila kostum kambing biri-birinya terbakar semasa konsert amal sambutan krismas di sebuah gereja di Croydon menuntut ganti rugi berjumlah lebih 1 juta pound (RM5.2 juta).

Lapor Daily Mail, ibu bapanya yang menyaksikan api menyambar anak mereka, menuntut pampasan daripada Sekolah Rendah Katolik St Thomas Becket selepas insiden kemalangan itu berlaku tiga tahun lalu.

Mangsa yang ketika itu berusia 7 tahun, memakai kostum kambing biri-biri diperbuat daripada bola kapas berbaris berhampiran pentas apabila seorang murid lain memegang lilin yang dinyalakan dalam cawan plastik, tersandung dan membakar pakaian itu.

Guru Besar sekolah berkenaan, Noel Campbell dan seorang wanita bergegas menepuknya untuk memadamkan api dan kedua-dua mereka turut cedera dalam kejadian tersebut, sementara kanak-kanak itu dikejarkan ke hospital.

Tetapi mangsa mengalami luka melecur teruk yang meliputi 45 peratus tubuhnya, termasuk leher, muka, badan dan lengannya.

Menurut tuntutan yang difailkan di mahkamah, ibu dan bapanya yang menjadi penonton konsert mengalami kecederaan psikiatri dan trauma yang teruk selepas melihat kemalangan menimpa anak mereka di depan mata.

Keluarga mangsa menuduh sekolah itu cuai dan menuntut ganti rugi lebih 1 juta pound (RM5.3 juta) untuk anak mereka manakala bapa serta ibunya membuat tuntutan berasingan berjumlah 150,000 pound (RM785,739) untuk kecederaan peribadi mereka selepas melihat kemalangan ngeri itu.

Mereka juga menuntut ganti rugi lain untuk anak lelaki mereka yang membenarkan keluarga itu kembali ke mahkamah untuk mendapatkan lebih banyak wang jika keadaan kanak-kanak malang itu semakin merosot, mengalami kecacatan rangka atau sendi mahu pun jangkitan pada tisu parut sama ada secara spontan atau disebabkan oleh pembedahan.

Berikutan kejadian itu, Penolong Pesuruhjaya Keselamatan Kebakaran London, Dan Daly menasihatkan semua pihak tentang risiko besar yang boleh dicetuskan akibat penggunaan lilin oleh kanak-kanak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN