MAKASSAR: Puluhan peniaga mengalami kerugian selepas lebih 24 gerai jualan di Pasar Terong di Makassar hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran besar kelmarin.
Menurut Kompas.com, kebakaran yang berpunca dari tingkat 3 Pasar Terong itu memusnahkan pelbagai barangan jualan sekitar pukul 9.00 malam waktu tempatan.
Pasar Terong yang hanya beroperasi dari pagi hingga petang itu tiba-tiba dipenuhi penduduk yang cuba memadamkan kebakaran selepas api mula marak.
Ketua Balai Bomba Kota Makassar, Muhammad Hasanuddin berkata, sebanyak 20 jentera bomba dan 78 anggota dikerahkan untuk memadamkan kebakaran tersebut.
“Selama 40 minit anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran supaya api tidak merebak ke gerai lain dan menyambar seluruh pasar.
“Keluasan kebakaran di Pasar Terong adalah kira-kira 40 meter. Punca sebenar kebakaran masih belum diketahui, namun dianggarkan terdapat litar pintas pada bekalan elektrik.
“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku dalam kemalangan ini,” katanya.