KYIV: Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh selepas sebuah helikopter milik kerajaan Ukraine terhempas berhampiran sebuah pusat jagaan kanak-kanak di luar ibu kota Kyiv.
Kesemua sembilan penumpang yang menaiki helikopter itu termasuk Menteri Dalam Negeri, Denis Monastyrsky dan timbalannya, Yevhen Yenin serta Setiausaha Negara, Yura Lubkovich terbunuh dalam nahas itu.
Pegawai Kementerian Dalam Negeri, Anton Gerashchenko mengesahkan berita kematian itu dan mendakwa nahas itu mungkin disebabkan sabotaj Russia.
Helikopter itu terhempas di bandar Brovary, timur Ukraine pada awal pagi tadi.
Pasukan perkhidmatan kecemasan bergegas ke lokasi kejadian.
Beberapa rakaman video yang tular dalam media sosial menunjukkan bangunan terbakar dan kedengaran orang ramai menjerit ketika bergegas keluar dalam keadaan tidak terkawal.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 18 orang termasuk dua kanak-kanak meninggal dunia.
Ketua Polis Ukraine, Igor Klymenko berkata, seramai 22 orang termasuk 10 kanak-kanak ketika ini sedang menerima rawatan di hospital.
Tiada maklumat lanjut berhubung punca nahas helikopter itu. – AGENSI/AFP