Tak mahu ikut perang, lelaki Russia sembunyi di hutan - Utusan Malaysia

Tak mahu ikut perang, lelaki Russia sembunyi di hutan

ADAM KALININ sejak awal lagi menentang peperangan terhadap Ukraine. - AGENSI  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Gara-gara enggan dikerahkan menyertai pasukan tentera dalam peperangan di Ukraine, seorang lelaki warga Russia sanggup tinggal seorang diri di hutan sejak empat bulan lalu.

Lapor Oddity Central, lelaki dikenali dengan nama Adam Kalinin sejak awal lagi menentang peperangan terhadap Ukraine.

Malah, Kalinin pernah ditahan selama dua minggu dan didenda kerana mempamerkan sebuah sepanduk tertera `katakan tidak kepada peperangan’ di luar bangunan kediamannya.

Ketika Presiden Vladimir Putin menandatangani perintah mengerah 300,000 penduduk lelaki negara itu melawan Ukraine, Kalinin mencari jalan bagi mengelak daripada dihantar menyertai barisan hadapan itu.

Pakar teknologi maklumat (IT) menyedari isu kewangan serta keberatan untuk meninggalkan keluarga dan rakan-rakannya menghalang dirinya daripada lari ke negara lain.

Justeru, Kalinin mendapat idea untuk bersembunyi di hutan di tengah-tengah musim sejuk melampau dan sudah tinggal di sana selama hampir empat bulan.

“Bagi saya, meninggalkan zon selesa adalah langkah yang amat sukar buat saya.

“Walaupun tidak begitu selesa untuk tinggal di hutan, namun secara psikologinya, ia sukar buat saya untuk meninggalkan negara,” katanya. 

Menurut Kalinin, idea tinggal di hutan merupakan cara terbaik untuk mengelak diri daripada dikerahkan menyertai peperangan.

Jika pihak berkuasa gagal menemukan Kalinin untuk menyerahkan perintah kerahan tentera itu, maka dia tidak boleh dipanggil menyertai peperangan secara sah.

Jelasnya, dia tinggal di dalam khemah di bawah suhu serendah -11 darjah Celsius dan hidup dengan bekalan dibawa oleh isterinya ke lokasi yang menjadi tempat penghantaran.

Kalinin berkata, dia mempunyai akses internet dan mampu menjalankan tugasan kerjanya sepertimana dilakukan sebelum berpindah ke hutan.

Pekerja IT itu ketika ini masih dikecualikan daripada kerahan tenaga tentera dan belum menerima perintah itu lagi, namun Kalinin tidak mahu mengambil risiko.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya