Serangan di Makiivka: Russia salahkan tentera guna telefon bimbit - Utusan Malaysia

Serangan di Makiivka: Russia salahkan tentera guna telefon bimbit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia mendakwa insiden serangan peluru berpandu yang berlaku pada malam tahun baharu sehingga mengakibatkan seramai 89 tenteranya terbunuh, berlaku disebabkan tindakan pasukan tenteranya yang menggunakan telefon bimbit.

Lapor BBC, seorang pegawai memaklumkan penggunaan telefon secara haram oleh anggota tenteranya menyebabkan kedudukan mereka mudah dikesan dan diserang pihak musuh.

Ukraine mendakwa seramai 400 tentera Russia terbunuh dan 300 lagi cedera dalam serangan di sebuah kolej vokasional di bandar Makiivka di wilayah Donetsk yang diduduki Russia.

Walaupun jumlah individu terkorban dalam serangan itu tidak dapat dipastikan, ia merupakan angka kematian terbesar yang pernah didedahkan oleh Russia.

Russia berkata, sebanyak enam roket ditembak dari pelancar HIMARS buatan Amerika Syarikat (AS) di kolej vokasional tersebut, yang mana dua daripadanya ditembak jatuh.

Kementerian Pertahanan Russia menerusi kenyataan memaklumkan Timbalan Komander rejimen, Lt Kol Bachurin antara pegawai tentera yang terbunuh dalam serangan itu.

Jelas kenyataan itu, satu jawatankuasa dibentuk sedang menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, punca utama serangan itu adalah disebabkan penggunaan telefon bimbit secara meluas oleh pasukan tentera, walaupun ia diharamkan.

“Faktor itu membolehkan musuh mengesan dan menentukan koordinat lokasi anggota tentera untuk melancarkan serangan peluru berpandu,” jelas kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, mana-mana pegawai yang didapati bersalah dalam siasatan itu akan dibawa ke muka pengadilan.

“Malah, beberapa langkah berjaga-jaga sedang diambil untuk mengelakkan kejadian serupa berulang pada masa hadapan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN