Saran hidang `daging sayuran' di sekolah, penjara  - Utusan Malaysia

Saran hidang `daging sayuran’ di sekolah, penjara 

BURGER berasaskan sayuran disaran dihidangkan di institusi awam. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Satu laporan baharu mencadangkan makanan berasaskan sayur-sayuran khususnya produk `daging sayuran’ harus dihidangkan di sekolah, penjara dan hospital bagi mempromosikan populariti gaya hidup vegan dalam kalangan orang awam.

Menurut laporan itu, hidangan burger, sosej dan fillet yang berasaskan sayur-sayuran di institusi awam sedemikian mampu mencetuskan perubahan ke arah gaya hidup sihat.

Malah, jelas laporan itu, pengambilan daging yang berkurangan bukan hanya berupaya meningkatkan kesihatan individu tetapi juga menyelamatkan planet.

“Ini kerana penternakan haiwan berskala besar boleh memusnahkan habitat dan mengeluarkan karbon dioksida (CO2) dan metana,” jelas laporan.   

Laporan baharu itu menyatakan wujudnya `norma sosial’ dalam kalangan penggemar daging yang perlu diubah meskipun rasa, tekstur dan khasiat `daging tiruan’ masih perlu ditambah baik.

Laporan itu dikeluarkan oleh sekumpulan pakar di firma perundingan kelestarian, Systemiq dengan kerjasama Universiti Exeter yang membuat siri pengesyoran dalam usaha mempercepatkan sifar bersih.

“Tindakan beralih kepada protein alternatif secara tidak langsung mampu mengurangkan permintaan untuk pengeluaran daging.

“Langkah ini boleh mengurangkan beban bagi perubahan guna tanah dan pelepasan gas akibat penternakan ternakan.

“Malah, dengan menggunakan institusi awam demikian untuk membeli protein alternatif dalam kuantiti banyak akan meningkatkan permintaan dengan pantas dan membantu pengeluar mencapai skala ekonomi dengan mengurangkan kos,” jelas laporan itu.

Dilaporkan, produk makanan daging tiruan dijangka mencecah kira-kira 10 peratus daripada bahagian pasaran menjelang tahun 2035.

“Bagaimanapun, unjuran itu boleh meningkat kepada 20 peratus sekiranya perubahan dasar dilakukan,” jelas laporan itu. – AGENSI      

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN