Ramai anggota bomba terlibat tragedi Grenfell hidap kanser - Utusan Malaysia

Ramai anggota bomba terlibat tragedi Grenfell hidap kanser

ANGGOTA bomba yang dikerahkan memadam kebakaran Menara Grenfell berehat berhampiran lokasi kejadian.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Ramai anggota bomba yang bertarung nyawa menyelamatkan mangsa bencana Menara Grenfell enam tahun lalu kini dikesan menderita penyakit kanser. 

Lapor Mirror UK, siasatan dijalankan baru-baru ini mendedahkan tragedi yang lebih menyedihkan di sebalik insiden kebakaran terburuk di United Kingdom (UK) pada tahun 2017 yang mengorbankan 72 penduduk itu.

Seramai 12 anggota bomba berumur dalam lingkungan 40-an dikesan menghidap penyakit kanser majoritinya pencernaan dan leukemia yang tiada penawar kerana terlalu lama terdedah kepada pencemaran berbahaya ketika menjalankan misi menyelamat besar-besaran itu. 

Kajian oleh University of Central Lancashire mendapati pencemaran tanah yang disebabkan oleh bencana kebakaran boleh meningkatkan risiko kanser dan masalah pernafasan bagi mereka yang tinggal di kawasan itu.

Analisis tanah, serpihan kayu dan sampel arang papan penebat yang digunakan pada menara berkenaan mendedahkan kepekatan tinggi bahan kimia penyebab kanser dan karsinogen termasuk benzena dalam jarak 200 meter dari menara berkenaan.

Penyelidikan awal minggu ini oleh Kesatuan Pasukan Bomba dan Universiti Central Lancashire mendapati, anggota bomba dua kali ganda berkemungkinan didiagnos dengan kanser jika mereka menyedut jelaga di hidung atau tekak mereka.

“Kini anggota bomba dan mangsa yang terselamat daripada tragedi itu semakin bimbang dengan tahap kesihatan mereka dan ramai yang sudah dipanggil untuk menjalankan pemeriksaan.

“Kami menjangkakan beberapa data yang sangat menyedihkan akan didedahkan tidak lama lagi. Ia sangat mengejutkan dan senarai anggota bomba yang menghidap kanser kerana bertugas di Grenfell sedang disusun oleh pakar.

“Difahamkan, pakar kesihatan sudah menemui kira-kira 12 kes tetapi angka sebenar kemungkinan melebihi 20 kes,” jelas kajian itu.

Dalam pada itu, Pegawai Kesatuan Bomba Kebangsaan, Riccardo la Torre berkata, pihaknya sedang menjalankan penyelidikan lanjut untuk membantu anggota bomba di seluruh UK terutamanya lebih 1,300 anggota yang berkhidmat ketika bencana Grenfell.

“Penyelidikan penting ini membuktikan bahawa anggota bomba menderita dan mati akibat kanser selain berdepan masalah kegagalan buah pinggang, strok, penyakit jantung, dan kesihatan mental dipercayai akibat daripada usaha fizikal yang melampau semasa tragedi itu.

“Tetapi anggota bomba dibiarkan dalam kegelapan kerana kekurangan pengawasan kesihatan yang kerap serta pemantauan pendedahan yang betul di UK dan disebabkan ketidaktentuan itu kami akan berusaha untuk membantu ahli kami menuntut perlindungan dan sokongan yang sewajarnya,” jelasnya.

Antara yang terbunuh dalam tragedi itu adalah bayi berusia enam bulan, Leena Belkadi yang meninggal dunia secara tragis dalam dakapan ibunya manakala mangsa paling tua dipercayai Sheila Smith berusia 84 tahun yang menghuni Menara Grenfell selama 34 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya