Rakyat AS disaran suntik vaksin Covid-19 setiap tahun  - Utusan Malaysia

Rakyat AS disaran suntik vaksin Covid-19 setiap tahun 

PENDUDUK menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Perubatan St. Mary di Apple Valley di California. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) bercadang untuk menjadikan suntikan vaksin Covid-19 diberi setiap tahun kepada rakyat negara itu, sepertimana suntikan bagi influenza.  

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) mengesyorkan pendekatan itu kepada warga AS yang sihat bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

Dalam satu dokumen taklimat menjelang mesyuarat diadakan esok, FDA turut meminta panel penasihat mempertimbangkan pemberian dua dos vaksin setahun bagi golongan kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai tahap imuniti rendah.  

Pengawal selia kesihatan itu turut menyarankan pemberian vaksin tersebut sentiasa diperbaharui bagi mengemas kini strategi kempen vaksinasi, sama seperti pendekatan dilakukan untuk vaksin influenza yang ditukar setiap tahun.

Tambah agensi itu, sebarang rancangan untuk vaksin Covid-19 harus mengambil kira masa yang diperlukan untuk menghasilkan dos vaksin yang mencukupi.

FDA berharap cadangan pemberian vaksin Covid-19 secara tahunan itu mampu mengurangkan kesilapan pada peringkat pelaksanaan dan pentadbiran sekali gus meningkatkan kadar perlindungan vaksin.  

Jangkaan saranan agensi itu selaras dengan usaha FDA untuk memperkemaskan strategi vaksin Covid-19.    

Sebelum ini, pentadbiran Presiden Joe Biden juga merancang untuk melaksanakan kempen dos penggalak pada setiap musim gugur.

Ketika ini, warga AS perlu terlebih dahulu mendapatkan dua dos vaksin Covid-19, pada jarak sekurang-kurangnya tiga hingga empat minggu dan bergantung pada jenis vaksin, diikuti dengan dos penggalak beberapa bulan selepas itu.

Dos utama vaksin Pfizer untuk kanak-kanak dan individu melibatkan tiga suntikan, dengan suntikan bivalen diberikan kira-kira dua bulan kemudian.

Sekiranya panel terbabit menyokong saranan berkenaan, maka vaksin bivalen keluaran Pfizer Inc. dan Moderna Inc. yang menyasarkan varian Omicron dan varian asal Covid-19, akan digunakan bagi semua dos vaksin Covid-19 dan bukan sahaja sebagai dos penggalak. – REUTERS 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.