Perunding AS terlibat kes 1MDB dihukum penjara dua tahun - Utusan Malaysia

Perunding AS terlibat kes 1MDB dihukum penjara dua tahun

HONOLULU: Seorang perunding Amerika Syarikat (AS) yang terkait dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dihukum penjara dua tahun kerana melakukan usaha melobi secara haram.

Lapor Washington Post, Nickie Mali Lum Davis melakukan cubaan melobi untuk mempengaruhi pentadbiran bekas Presiden AS, Donald Trump menggugurkan siasatan terhadap kecurian berbilion dolar dana pelaburan Malaysia itu, selain mengatur kepulangan pemberontak China yang menetap di AS.

Davis mengaku bersalah pada 2020 terhadap satu pertuduhan menolong dan bersubahat yang melanggar Akta Pendaftaran Ejen Luar.

Pendakwa raya AS, John Keller berkata, Davis gagal memaklumkan kepada kerajaan AS bahawa usaha melobi itu dilakukan bagi pihak ahli perniagaan warga Malaysia yang dituduh terbabit konspirasi pengubahan wang haram berjumlah berbilion dolar dana 1MDB.

Sebagai balasan menerima berjuta dolar, Davis dan beberapa pihak lain cuba menggunakan ‘pintu belakang’ untuk mempengaruhi pegawai tertinggi dalam kerajaan AS dan ‘menjual hubungan’ kepada ‘pembida asing tertinggi’, kata Keller dalam perbicaraan Davis di Honolulu.

Menurut pihak berkuasa AS, usaha melobi bagi pihak ahli perniagaan Malaysia itu tidak berjaya selain usaha mengatur pertemuan dengan Jabatan Keadilan AS bagi melobi penghantaran pulang seorang warga China juga gagal.

Menurut peguamnya, Davis turut bersetuju memulangkan dana berjumlah AS$3 juta (RM13 juta).

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN