Penduduk Palestin lancar protes

Penduduk Palestin lancar protes

PENDUDUK Palestin membaling batu ke arah jentolak tentera Israel sewaktu konfrontasi di bandar Jenin, Tebing Barat, kelmarin. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMAQDIS: Pejuang Gaza melepaskan roket sebagai tanda protes dan pada masa yang sama tentera Israel membalas sera­ngan udara semalam yang mencetuskan ketegangan memuncak rentetan tentera Israel menembak mati sembilan rakyat Palestin di Tebing Barat.

Menurut laporan South China Morning Post, tentera Israel membuat serbuan yang dinamakan operasi mencegah keganasan di kem pelarian Jenin kelmarin menyebabkan sembilan maut termasuk wanita berusia 61 tahun.

Tentera Israel dikatakan membuat serbuan tunggal paling ber­darah dalam tempoh lebih dua dekad di wilayah itu.

UJIAN AWAL KERAJAAN NETANYAHU
Keganasan yang meletus turut menjadi ujian awal bagi kerajaan yang diterajui Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu selain membayangi lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken ke wilayah itu minggu depan.

Menurut tentera Israel, pejuang Gaza melepaskan lima roket ke arah mereka semalam.

Namun, kata tentera, tiga da­ripadanya dipintas, sebuah roket jatuh di kawasan lapang dan sebuah lagi jatuh di dalam kawasan Gaza.

Tentera Israel juga melakukan beberapa siri serangan udara di kawasan sasaran pejuang berkenaan dan tiada laporan mengenai kemalangan jiwa setakat ini.

PROTES SELEPAS SOLAT JUMAAT
Semalam, rakyat Palestin berhimpun dan membuat protes jalanan selepas menunaikan solat Jumaat bagi menuntut bela kematian penduduk mereka.

Hamas, kumpulan pejuang Islam yang mengawal Gaza sebelum ini turut mengancam untuk membalas dendam di atas serbuan berdarah itu.

Malah, Pihak Berkuasa Palestin berkata, ia mengancam akan menghentikan hubungan pasukan keselamatannya dengan Israel dalam usaha membendung militan Islam.

Ancaman sebelum ini adalah bersifat jangka pendek memandangkan sebahagian faedah dinikmati daripada hubungan yang terjalin tersebut selain tekanan daripada AS yang mahu mengekalkannya.

Pihak Berkuasa Palestin pula mempunyai kawalan terhad ke atas enklaf (sebahagian daripada wilayah) yang berselerak di Tebing Barat dan hampir tiada kawalan ke atas kubu pejuang seperti kem pelarian Jenin.

Tetapi pengumuman Pihak Berkuasa Palestin itu boleh membuka jalan kepada Israel untuk meningkatkan operasi atau sera­ngan yang dikatakan mencegah serangan pejuang Gaza.

Serangan udara Israel semalam menyasarkan tapak latihan untuk kumpulan pejuang Palestin, kata tentera.

SERANG MENERUSI DRON
Saksi dan media tempatan melaporkan bahawa dron Israel melepaskan dua peluru berpandu ke arah pangkalan pejuang Hamas sebelum diserang dengan jet pejuang sehingga menyebabkan empat letupan besar.

Siren amaran berbunyi di selatan Israel apabila dua roket awal pejuang Gaza dilepaskan dan kali kedua selepas serangan udara, sebelum melepaskan tiga roket yang lain.

Kelmarin, tentera Israel berjaga-jaga apabila rakyat Palestin memenuhi jalan di seluruh Tebing Barat yang turut melaungkan solidariti mereka berhubung kejadian yang mengorbankan sembilan penduduk di kem Jenin.

PALESTIN BERKABUNG TIGA HARI
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas turut mengisytiharkan tiga hari berkabung dan di kem pela­rian di sana, penduduk menggali kubur besar-besaran untuk penduduk yang terkorban.
Beliau juga berkata, rakyat Palestin merancang untuk memfailkan aduan kepada Majlis Keselamatan PBB, Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan badan antarabangsa lain.

Pertempuran senjata api kelmarin menyebabkan sembilan maut dan 20 cedera apabila tentera Israel melakukan operasi pada waktu siang hari yang jarang berlaku di kem Jenin yang dikatakan bertujuan untuk menghalang serangan yang akan berlaku ke atas Israel. Kem itu dihuni kumpulan Jihad Islam Palestin dan menjadi sasaran Israel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya