NASA bina roket berkuasa nuklear kurangkan masa perjalanan ke Marikh - Utusan Malaysia

NASA bina roket berkuasa nuklear kurangkan masa perjalanan ke Marikh

NASA dan DARPA bekerjasama membina roket berkuasa nuklear yang mampu memendekkan masa perjalanan ke planet Marikh. - DARPA 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) sedang membina sebuah roket berkuasa nuklear yang mampu menghantar manusia ke Marikh dengan lebih pantas berbanding kapal angkasa yang biasa digunakan.

Ketika ini, perjalanan ke Planet Merah mengambil masa kira-kira tujuh bulan.

Lapor Daily Mail, NASA sedang bekerjasama dengan Agensi Projek Penyelidikan Terperinci Pertahanan (DARPA) dalam program Demonstration Rocket for Agile Cislunar Operations (DRACO) yang akan diuji pada 2027.

Roket termal nuklear (NTR) menawarkan nisbah tujah-berat yang tinggi iaitu hampir 10,000 kali ganda lebih kuat berbanding kuasa pendorong elektrik serta kira-kira dua hingga lima kali ganda lebih berkesan daripada pendorongan kimia dalam angkasa.    

Pasukan saintis merancang untuk menggunakan model NTR sebelumnya bagi mereka bentuk DRACO, selain memberikannya sentuhan moden.

Dilaporkan, agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) itu telah mengkaji konsep pendorongan termal nuklear selama beberapa dekad.

Teknologi itu menyalurkan tenaga haba daripada reaktor pembelahan nuklear kepada propelan hidrogen bagi memberikan daya tujahan yang dipercayai jauh lebih berkesan berbanding enjin roket berasaskan bahan kimia biasa digunakan. 

Selain memendekkan masa perjalanan, pasukan saintis menyatakan NTR juga mampu mengurangkan risiko kepada angkasawan kerana mereka tidak akan mengembara ke angkasa lepas untuk tempoh yang lama. 

“Ia secara ketara mengurangkan masa angkasawan terdedah kepada sinaran angkasa lepas dan hanya memerlukan bekalan yang sedikit seperti makanan dan bahan lain semasa perjalanan ke Marikh,” jelasnya.     

Sementara itu, Timbalan Pentadbir NASA, Pam Melroy berkata, pihaknya menyasarkan untuk menghantar manusia ke planet Marikh pada akhir tahun 2030.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya