Mercedes-Benz bina rangkaian pengecas EV sendiri - Utusan Malaysia

Mercedes-Benz bina rangkaian pengecas EV sendiri

RANGKAIAN pertama merangkumi pembinaan 400 stesen pengecasan EV yang dijangka siap menjelang 2027. - AGENSI  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEVADA: Pembuat kereta Jerman Mercedes-Benz sedang membangunkan rangkaian pengecasan kenderaan elektrik (EV) sendiri di seluruh dunia, sekali gus bersaing dengan syarikat Tesla.

Lapor Daily Mail, Mercedes-Benz mengumumkan projek baharu bernilai AS$1.05 bilion itu di Pameran Elektronik Pengguna (CES) yang berlangsung di Las Vegas, minggu lalu.

Syarikat pengeluar kereta mewah itu mendedahkan rancangannya untuk mewujudkan rangkaian pengecasan EV di Amerika Utara sebelum meluaskannya ke bahagian lain di seluruh dunia.

Jelas syarikat itu, rangkaian pertama merangkumi pembinaan 400 stesen pengecasan EV dengan lebih 2,500 palam berkuasa tinggi yang dijangka siap menjelang 2027.

Walaupun Tesla mempunyai kira-kira 40,000 Superchanger di seluruh dunia, teknologi itu hanya sesuai untuk kenderaan jenama itu sahaja manakala model Mercedes boleh digunakan bagi semua jenama kereta elektrik.

Menurut syarikat itu, pihaknya merancang memulakan projek sama di Eropah dan China selepas rangkaian pengecasan EV di Amerika Utara siap sepenuhnya.

Bergantung pada keadaan pasaran semasa, keseluruhan rangkaian pengecasan EV akan siap menjelang akhir dekad apabila syarikat itu berhasrat menjual semua kenderaan elektrik.

Sementara itu, pengerusi lembaga pengurusan Mercedes-Benz, Ola Kallenius memaklumkan rangkaian yang lengkap itu akan merangkumi lebih 2,000 stesen pengecasan EV dan lebih 10,000 palam di seluruh dunia.   

Walaupun rangkaian milik Mercedes akan dibuka kepada semua EV, pemilik menggunakan kereta buatan syarikat itu boleh menempah port pengecasan dan mendapat keutamaan berbanding jenama kenderaan lain. 

Langkah itu akan membantu Mercedes-Benz bersaing dengan Tesla yang menawarkan stesen pengecasan secara eksklusif kepada pemilik Tesla meskipun Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elon Musk memaklumkan merancang untuk meluaskannya kepada jenama lain.  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN