BRUSSEL: Kesatuan Eropah (EU) menawarkan vaksin Covid-19 percuma kepada China bagi membantu negara itu membendung penularan jangkitan virus itu secara mendadak.
Memetik laporan Financial Times, inisiatif itu antara usaha dilaksanakan oleh Pesuruhjaya Kesihatan, Stella Kyriakides dalam mengatur tindak balas berdepan gelombang jangkitan selepas Beijing menamatkan dasar sifar Covid.
“Kyriakides sudah menghubungi rakan sejawatnya di China bagi memberikan sokongan dan solidariti termasuk kepakaran dalam kesihatan awam serta sumbangan vaksin EU,” jelas laporan itu yang memetik kenyataan seorang pegawai.
Menurut laporan itu, setakat ini, Beijing masih belum memberi sebarang maklum balas mengenai tawaran berkenaan.
Dalam pada itu, beberapa negara EU menegaskan pelancong yang tiba dari China selepas 8 Januari harus mengemukakan bukti ujian saringan Covid-19 negatif atau status vaksinasi mereka.
Perancis, Sepanyol dan Itali memaklumkan negara mereka akan mengenakan sekatan kerana bimbang dengan penularan varian baharu yang belum dikenal pasti.
Bagaimanapun, EU memaklumkan akan mengkoordinasi pendekatan pihak berkuasa dalam menjalankan pemeriksaan terhadap pesawat yang tiba dari China bagi mengesan sebarang varian baharu Covid-19.
Sementara itu, Steven Van Gucht dari Institut Kesihatan Awam Kebangsaan Sciensano memaklumkan Belgium akan menguji air kumbahan daripada pesawat yang tiba dari China bagi mengesan sebarang varian baharu Covid-19.
Ia merupakan sebahagian langkah baharu kerajaan bagi mengekang penularan virus itu yang dilaporkan semakin meningkat.
Katanya, pengembara yang mengalami gejala akan diminta menjalani ujian saringan Covid-19.
Menteri Kesihatan Belgium, Frank Vandenbroucke berkata, banyak perkara perlu dilakukan namun melalui pendekatan yang lebih dikoordinasi dalam kalangan 27 negara anggota.
Sweden pula menegaskan, pegawai dari negara anggota akan mengadakan mesyuarat Tindak Balas Krisis Politik Integrasi bagi membincangkan mengenai peraturan kemasukan pengembara. – REUTERS/AP/AGENSI