China sambung semula perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi selepas tiga tahun - Utusan Malaysia

China sambung semula perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi selepas tiga tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China menyambung semula perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi antara Hong Kong dan tanah besar China buat pertama kali selepas dihentikan ketika permulaan wabak Covid-19 tiga tahun lalu.

Pembukaan semula itu berlaku ketika gelombang jangkitan baharu yang lebih besar dikesan di seluruh negara dan sehari selepas pihak berkuasa mengesahkan hampir 60,000 orang meninggal dunia akibat dijangkiti Covid-19.

Walaupun jangkitan meningkat, beberapa penumpang menyuarakan keterujaan dan kelegaan kerana dapat pulang dengan lebih mudah ke kampung halaman mereka tepat pada masanya menjelang Tahun Baharu Cina yang semakin hampir.

“Penyambungan semula perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi telah memudahkan kami dan membantu kami lebih cepat sampai ke rumah,” kata Mang Lee, 33, yang merupakan antara puluhan penduduk yang melalui pemeriksaan sempadan di stesen Kowloon Barat di Hong Kong sebelum menaiki kereta api.

Jelas seorang lagi penumpang, Meng yang berasal dari bandar selatan Guangzhou, bukan mudah untuk memasuki China dalam apa cara sekalipun sejak wabak itu dikesan tiga tahun lalu dan dia sudah lama tidak dapat pulang ke kampung halamannya.

Ketua operasi rentas sempadan MTR Corp, Cheung Chi-keung berkata, operasi di stesen Kowloon Barat berjalan lancar dengan aliran kira-kira 1,400 penumpang menjelang 10 pagi tadi.

Paparan di stesen menunjukkan tiket untuk hampir semua laluan kereta api juga telah habis dijual.

Pengerusi MTR, Rex Auyeung memberitahu pemberita di stesen itu, pembukaan semula itu hanya melibatkan perjalanan yang singkat sahaja.

Setiausaha Pengangkutan Hong Kong, Lam Sai-hung berkata, beliau tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar perjalanan jarak jauh akan disambung semula kerana perkara itu hanya dapat diketahui selepas perbincangan dengan pihak berkuasa di tanah besar China.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN