Berita peletakan jawatan PM New Zealand terima pelbagai reaksi - Utusan Malaysia

Berita peletakan jawatan PM New Zealand terima pelbagai reaksi

JACINDA Ardern membuat pengumuman itu pada mesyuarat parti di Napier, New Zealand. - AGENSI   
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WELLINGTON: Pengumuman Jacinda Ardern yang akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri New Zealand bulan depan, mengundang pelbagai reaksi daripada rakyat di seluruh dunia.

Rata-rata warga New Zealand dan penduduk di luar negara meluahkan rasa terkejut serta sedih berhubung peletakan jawatan pemimpin wanita itu di media sosial.

Malah, ada dalam kalangan mereka termasuk pemimpin dunia mengambil kesempatan berkongsi pandangan mengenai Ardern dan kepemimpinannya yang sering menjadi sebutan ramai. 

Lapor portal nzherald.co.nz, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, Ardern sudah menunjukkan kepada dunia cara untuk memimpin negara dengan cekal dan bijak.

“Beliau menunjukkan bahawa sikap empati dan wawasan yang tinggi merupakan dua kualiti kepimpinan yang hebat. Ardern menjadi pendukung kuat untuk New Zealand, inspirasi kepada ramai dan rakan baik kepada saya,” katanya.    

Pelakon New Zealand, Sam Neill berkata, dia sudah tahu dan `tidak terkejut’ dengan berita peletakan jawatan itu.   

“Saya tidak terkejut malah tidak menyalahkannya. Saya dapati segala layanan terhadap pemimpin itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini amat memalukan.

“Ardern berhak mendapat layanan lebih baik kerana beliau merupakan seorang pemimpin yang hebat,” katanya.  

Seorang lagi pelakon, Lucy Lawless pula mendoakan yang terbaik untuk Ardern. 

“Saya mendoakan masa depan yang baik buat dirinya. Beliau sentiasa memberikan komitmen 110 peratus. Terima kasih kepada segala yang anda lakukan untuk negara ini,” katanya.  

Sementara itu, seorang wartawan warga New Zealand yang menetap di Britain, Dan Wootton mendakwa Ardern mengundur diri setelah mengetahui akan dipecat daripada jawatannya.

Kolumnis Daily Mail itu sebelum ini lantang menentang dasar diperkenalkan Ardern khususnya berkaitan pandemik Covid-19.

Akhbar Washington Post pula melaporkan Ardern dipuji bagi gaya kepemimpinannya semasa menangani pandemik koronavirus dan insiden serangan pengganas terhadap dua masjid di Christchurch.  

Terdahulu, Ardern berkata, beliau akan meletakkan jawatan sebagai ketua Parti Buruh selewat-lewatnya pada 7 Februari ini.

Katanya, beliau ‘tidak lagi bertenaga’ untuk memimpin negara dan meneruskan tugas yang diamanahkan dengan sempurna.

Satu undian akan diadakan dalam tempoh beberapa hari lagi bagi menentukan pengganti Ardern.

Dilaporkan, New Zealand akan mengadakan pilihan raya umum pada 14 Oktober tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya