Australia wajibkan pengembara China tunjuk keputusan negatif Covid-19 mulai 5 Januari - Utusan Malaysia

Australia wajibkan pengembara China tunjuk keputusan negatif Covid-19 mulai 5 Januari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Australia hari ini memutuskan pelancong dari China perlu memberikan keputusan ujian negatif Covid-19 mulai 5 Januari sebelum dibenarkan memasuki negara ini.

Keputusan itu menyamai banyak negara yang sudah mula melaksanakan sekatan yang sama ekoran peningkatan kes di China.

Menteri Kesihatan, Mark Butler, berkata ia disebabkan kekurangan maklumat epidemiologi dan data penjujukan genomik dari China.

Beliau berkata, kerajaan Australia mengambil keputusan dengan berhati-hati dengan memohon pelawat mengemukakan ujian negatif yang diambil dalam tempoh 48 jam selepas mereka berlepas dan keperluan itu juga akan dikenakan kepada pelawat dari Hong Kong dan Macau.

Dalam sidang akhbar, Butler juga memaklumkan, kerajaan mempertimbangkan langkah tambahan termasuk menguji air sisa dari pesawat dan pensampelan sukarela ketika ketibaan di lapangan terbang.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan mengalu-alukan penyambungan semula perjalanan antara Australia dan China.

Saya juga ingin menegaskan ini adalah langkah sementara, mencerminkan kekurangan maklumat yang menyeluruh sekarang mengenai situasi di China,” kata Butler.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin sekali lagi menggesa pihak berkuasa kesihatan China untuk sentiasa berkongsi maklumat khusus dan masa nyata mengenai situasi Covid-19 di negara itu dan akan terus menilai lonjakan jangkitan terkini. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya