fbpx

200 kanak-kanak, remaja pencari suaka hilang di UK 

LONDON: Seramai 200 kanak-kanak dan remaja yang mencari suaka termasuk berusia bawah 16 tahun dilaporkan hilang daripada sebuah hotel penginapan sementara di Britain. 

Kejadian itu menimbulkan tanda tanya mengenai cara pengurusan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak terhadap ketibaan golongan pendatang di negara tersebut.

Pentadbiran Sunak kini berdepan tekanan setelah dikatakan gagal melindungi sempadan Britain daripada pendatang yang tiba dengan bot kecil dan dakwaan kononnya kerajaan tidak memberi layanan sewajarnya kepada golongan tersebut.

Menteri Imigresen Britain, Robert Jenrick dalam satu sidang Parlimen memberi penjelasan berhubung laporan media mengenai kehilangan remaja dan kanak-kanak berkenaan.

Menurut Jenrick, seramai 13 daripada 200 individu yang hilang itu berusia bawah 16 tahun dan seorang merupakan kanak-kanak perempuan.

Katanya, kira-kira 88 peratus daripada kanak-kanak dan remaja yang hilang itu, tiba dari Albania.

Beliau memaklumkan kerajaan sedang melaksanakan tanggungjawab untuk melindungi mereka.

“Pergerakan keluar masuk golongan bawah umur 18 tahun yang ditempatkan di hotel itu dipantau serta dilaporkan secara kerap. Malah, mereka diiringi oleh pekerja sosial ketika menghadiri aktiviti dianjurkan.

“Kami tidak mempunyai kuasa untuk menahan kanak-kanak yang mencari suaka tanpa ditemani individu, dalam keadaan demikian,” katanya.

Dilaporkan, bilangan pendatang tiba di England dengan merentasi Selat Inggeris meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh dua tahun lalu.

Malah, data kerajaan menunjukkan pendatang warga Albania paling ramai tiba menerusi laluan tersebut. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Parti Green, Caroline Lucas memberitahu golongan kanak-kanak dan remaja yang hilang itu berisiko dirompak, diculik dan dipaksa melakukan jenayah.

“Ia amat mengerikan, kanak-kanak berkenaan seolah-olah telah diabaikan oleh Kementerian Dalam Negeri. 

“Sebahagian besar daripada golongan itu sudah hilang. Oleh itu, kami mahu kementerian mengambil tindakan sewajarnya termasuk perlindungan asas agar memastikan mereka selamat,” katanya. – REUTERS 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN