WHO yakin fasa darurat Covid-19 semakin hampir ke penghujung - Utusan Malaysia

WHO yakin fasa darurat Covid-19 semakin hampir ke penghujung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, dunia ‘semakin hampir’ menamatkan fasa darurat pandemik Covid-19, namun memberi amaran Omicron masih berleluasa di seluruh dunia dan terus menyebabkan jumlah kematian yang ketara.

“Kita semakin hampir untuk menyatakan fasa darurat pandemik sudah berakhir, tetapi kita belum sampai ke arah itu” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, pada sidang akhbar di sini.

Ini disebabkan Omicron terbukti lebih mudah tersebar berbanding varian terdahulu, Delta, dan terus menyebabkan kematian yang ketara berikutan kepesatan penularan.

Tedros berkata, jurang dalam pengawasan, ujian, penjujukan genom dan suntikan vaksin terus mewujudkan keadaan yang sempurna untuk varian baharu muncul, sekali gus boleh menyebabkan jumlah kematian yang ketara.

Statistik WHO menunjukkan jumlah kematian mingguan yang dilaporkan kepada pertubuhan itu sudah berkurangan sedikit sejak lima minggu lalu, namun lebih 8,500 individu terkorban akibat wabak itu pada minggu lalu.

“Ia tidak boleh diterima dalam tempoh tiga tahun kita dilanda pandemik, malah kita mempunyai begitu banyak kaedah untuk mencegah jangkitan dan menyelamatkan nyawa,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa Omicron, yang mana lebih 500 varian virus seumpamanya dikesan tersebar, cenderung menyebabkan penyakit yang kurang teruk berbanding varian membimbangkan sebelum ini.

WHO menganggarkan sekurang-kurangnya 90 peratus penduduk dunia kini mempunyai beberapa tahap imuniti terhadap SARS-CoV-2, disebabkan terkena jangkitan atau sudah menerima vaksinasi.

Menurut Ketua Teknikal Program Kecemasan Kesihatan WHO, Maria Van Kerkhove, sekurang-kurangnya 2.5 juta kes di seluruh dunia dilaporkan kepada pertubuhan itu pada minggu lalu tetapi jumlah itu adalah anggaran yang terlalu rendah berhubung penyebaran virus itu di seluruh dunia.

Beberapa anggaran daripada data peringkat perbandaran melihat jumlah kes baharu boleh menjadi lima kali ganda lebih tinggi di sesetengah negara, bermakna virus itu masih tersebar secara meluas di seluruh dunia.

“Jadi, orang yang berumur lebih 60 tahun dengan penyakit kronik, imun yang lemah dan pekerja barisan hadapan wajar mendapatkan perlindungan vaksin.

“Malah, kami sendiri masih belum mencapai sasaran seratus peratus vaksinasi bagi golongan berisiko di seluruh dunia dan di setiap negara. Inilah yang kami mahukan kerajaan beri tumpuan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya