Trump dakwa Kongres cuba halangnya jadi Presiden AS

Trump dakwa Kongres cuba halangnya jadi Presiden AS

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Anggota panel yang menyiasat insiden rusuhan bangunan Capitol di Amerika Syarikat (AS) pada tahun lalu, mengesyorkan Donald Trump didakwa atas pelbagai tuduhan jenayah termasuk pemberontakan.

Langkah tersebut meningkatkan kepentingan dalam penyiasatan jenayah yang boleh mengakibatkan bekas Presiden AS itu dikenakan hukuman penjara.

Jawatankuasa siasatan Dewan Perwakilan AS menggesa supaya Trump didakwa selepas siasatan selama 18 bulan ke atas serangan bangunan Capitol oleh penyokongnya pada 6 Januari 2021.

Jelas jawatankuasa itu, pemimpin itu juga harus didakwa atas tuduhan menghalang prosiding rasmi dan konspirasi untuk menipu AS.

Dalam insiden tersebut, sekurang-kurangnya lima orang maut selepas kumpulan perusuh dipengaruhi oleh dakwaan palsu Trump berhubung penipuan pilihan raya, diarahkan berarak ke Kongres dan menyerbu sekali gus menghalang peralihan kuasa kepada Presiden AS yang dipilih, Joe Biden .

Jawatankuasa dwipartisan itu mengundi sebulat suara untuk merujuk pertuduhan itu kepada Jabatan Keadilan AS selepas ucapan perasmian Naib Pengerusi, Liz Cheney menuduh Trump secara jelas `mengabaikan tugasnya’ kerana gagal menghentikan rusuhan dengan segera.

Malah, beliau juga menggelar Trump sebagai `tidak layak untuk memegang jawatan di mana-mana pentadbiran’.

“Tiada pemimpin akan berkelakuan seperti itu pada masa itu, individu sedemikian juga tidak layak berkhidmat dalam mana-mana jawatan pihak berkuasa di negara kita lagi,” katanya.

Rujukan itu sebahagian besarnya dilihat sebagai simbolik kerana panel siasatan tidak mempunyai kawalan ke atas keputusan pendakwaan memandangkan kuasa terletak pada Jabatan Keadilan.

Siasatan itu termasuk serangan ke atas ahli Kongres AS dan cubaan Trump untuk membatalkan pilihan raya presiden 2020 yang dimenangi oleh Biden daripada Parti Demokrat.

Jack Smith yang merupakan pendakwa raya khas dilantik oleh Peguam Negara, Merrick Garland dilaporkan mengetuai kes siasatan terhadap Trump berkaitan pilihan raya presiden AS 2020.

Sebelum ini, Trump pernah mengumumkan rancangannya untuk bertanding semula sebagai presiden pada 2024.

TAMPARAN HEBAT

Sementara itu, Trump dalam satu kenyataan mendakwa siasatan dijalankan bagi menghalangnya daripada bertanding sebagai presiden kerana sedar beliau boleh menang dalam pilihan raya akan datang.

Malah, tegasnya, sebarang pendakwaan dikenakan terhadap dirinya seolah-olah dilihat sebagai `cubaan untuk menggagalkan rancangannya menjadi presiden AS’.

Setakat ini, Kongres tidak pernah membuat rujukan jenayah terhadap presiden yang sedang memerintah mahupun bekas presiden.

Justeru, tindakan demikian hanya akan mengundang kekecohan dalam kalangan penyokong Trump yang menentang pendakwaan terhadap pemimpin tersebut.

Langkah itu juga dilihat sebagai tamparan hebat kepada Trump di tengah-tengah beberapa kesilapan sejak beliau mengumumkan rancangannya untuk bertanding semula sebagai presiden.

Pertuduhan itu boleh melarang Trump daripada memegang sebarang jawatan dalam kerajaan dan tempoh penjara. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya