PARIS: Tiga orang terbunuh dan beberapa lagi masih hilang dalam insiden letupan di sebuah blok pangsapuri di pulau Jersey, di luar pantai utara Perancis.
Ketua Polis Jersey, Robin Smith mengesahkan setakat ini tiga kematian dilaporkan.
Katanya, letupan berlaku sejurus sebelum pukul 4 pagi (waktu tempatan) dan kebakaran berjaya dipadamkan.
“Pasukan perkhidmatan kecemasan akan terus mencari mangsa terselamat sepanjang malam,” katanya.
Menurut Smith, pasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian pada petang Jumaat selepas penduduk melaporkan terhidu gas.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas mengenai punca letupan dan memaklumkan ia masih sedang disiasat.
Jelasnya, sebuah bangunan tiga tingkat yang terletak berhampiran pelabuhan di ibu negara pulau itu, St Helier dilaporkan runtuh sepenuhnya.
Kata Smith, kira-kira 20 hingga 30 orang dipindahkan dengan selamat dan dua orang yang cedera ringan sudah menerima rawatan di hospital. – REUTERS