Penduduk Sg. Golok guna laluan sah

Penduduk Sg. Golok guna laluan sah

ANGGOTA Pasukan Gerakan Am bersama Pegawai Majlis Keselamatan Negara membuat tinjauan di sepanjang Sungai Golok, Rantau Panjang, Kelantan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Penduduk di kawasan Sungai Golok, dekat sini yang menjadi sempadan pemisah antara Malaysia-Thailand, akur dengan keputusan kerajaan merobohkan pangkalan haram bagi mengekang kegiatan penyeludupan di kawasan tersebut tidak lama lagi.

Rata-rata penduduk menyambut baik usaha tersebut demi kebaikan dan keselamatan negara meskipun sebelum ini kerap menggunakan pangkalan haram untuk menyeberang ke negara jiran.

Seorang penduduk, Fadli Mat Yusof, 54, berkata, rata-rata penduduk di Rantau Panjang akur dengan pemasangan papan tanda oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai larangan rentas sempadan.

Katanya, selain itu, notis pemakluman daripada Pejabat Tanah dan Jajahan sudah ditampal untuk tujuan perobohan pangkalan haram.

“Boleh dikatakan semua penduduk di Rantau Panjang mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan termasuk larangan rentas sempadan dan perobohan pangkalan haram.

“Kami akur dan sudah menggunakan laluan sah walaupun kebanyakan penduduk di sini mempunyai hubungan kekeluargaan dengan penduduk di Sungai Golok, Thailand,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Malik Hassan, 60, berkata, dia tiada masalah dengan perobohan jeti di pangkalan haram meskipun berdepan kesukaran ke rumah saudara-maranya di Selatan Thailand.

“Memang kita rasa susah sedikit selepas ini kerana sudah lama menggunakan pangkalan haram. Keluarga saya sendiri sudah menggunakan pangkalan haram sejak puluhan tahun lalu.

“Saya dimaklumkan pangkalan haram dirobohkan tidak lama lagi. Sebagai penduduk, kami berlapang dada dengan keputusan kerajaan,” katanya.

Zulkifli Mohmad, 65, pula berharap dengan perobohan jeti haram itu menyelesaikan kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan.

Katanya, kawasan di sekitar sempadan terutama di Rantau Panjang terkenal dengan kegiatan penyeludupan sejak dahulu dan langkah yang diambil kerajaan itu diharap mampu menyelesaikan isu berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Kedah dipertingkat bagi mengelak kawasan itu dijadikan laluan alternatif kegiatan penyeludupan, selepas tindakan tegas pihak berkuasa di negeri jiran dan Pantai Timur.

Katanya, langkah itu diambil susulan tindakan Polis Kelantan merobohkan pengkalan haram di sepanjang Sungai Golok serta kawalan ketat oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Saya telah arahkan semua pegawai dan anggota supaya memperketat kawalan di sempadan dan tidak membenarkan Bukit Kayu Hitam serta Padang Terap dijadikan laluan alternatif oleh sindiket,” katanya selepas menyerahkan kenderaan lucut hak di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 di sini, hari ini.

Menurut beliau, penguatkuasaan diperketatkan dengan pelbagai strategi termasuk melaksanakan sekatan jalan raya pada hari cuti hujung minggu dan cuti umum iaitu ketika aliran keluar masuk tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN