PORT VILA: Pegawai kerajaan Vanuatu terpaksa menggunakan mesin taip serta akaun emel dan komputer riba peribadi untuk menjalankan urusan kerja harian berikutan laman web kerajaan negara ini yang masih belum pulih akibat serangan siber bulan lalu.
Lapor The Guardian, serangan perisian hasad atau malware ke atas rangkaian utama menyebabkan kelewatan dalam komunikasi, urusan kewangan dan penyelarasan di negara kepulauan Pasifik dengan 314,000 penduduk itu.
Orang ramai terpaksa menggunakan Yellow Pages dalam talian atau buku direktori telefon untuk mencari nombor telefon badan kerajaan sementara beberapa pejabat menjadikan halaman Facebook dan Twitter mereka sebagai medium utama menyalurkan maklumat.
Menurut seorang penganalisis kewangan yang bekerja rapat dengan pasukan keselamatan siber kementerian, masalah bermula sekitar 30 Oktober lalu, apabila aktiviti pancingan data yang mencurigakan dikesan dalam emel kepada Kementerian Kewangan.
Serangan malware yang berlaku menjejaskan keseluruha emel serta arkib laman web kerajaan dan situasi bertambah buruk apabila banyak jabatan masih menggunakan komputer untuk menyimpan data berbanding pelayan web atau awan.
Bagaimanapun tiada maklumat rasmi dikeluarkan sama ada tuntutan wang tebusan dibuat oleh penggodam.
“Situasi agak huru-hara dalam beberapa hari pertama tetapi seluruh kerajaan membuat akaun Gmail alternatif atau menggunakan emel peribadi mereka. Kami semua menggunakan telefon dan telefon bimbit untuk berkomunikasi.
“Tetapi kami berdaya tahan sebagai sebuah negara kecil dan boleh menguruskan perkara ini. Jabatan kami kini lebih banyak berkomunikasi dengan orang ramai di Facebook dan Twitter, sehingga kami mendapat lebih ramai pengikut,” kata Pegawai Komunikasi Kementerian Perubahan Iklim, Olivia Finau.
Serangan siber tersebut berlaku hanya beberapa hari selepas Perdana Menteri, Ishmael Kalsakau mula memegang jawatan secara rasmi dan kerajaan Australia dilaporkan telah menawarkan bantuan.