MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin mengakui tekanan penggunaan senjata nuklear dalam perang di Ukraine semakin meningkat, biarpun beliau menegaskan Moscow sesekali tidak akan melancarkan senjata itu jika tiada pihak yang ‘mendorongnya’.

Putin juga memberi amaran konflik yang tercetus di Ukraine akan berlanjutan dalam suatu tempoh yang tidak dapat ditentukan.
Sejak Februari lalu, tentera Russia tidak dapat mengukuhkan kedudukan di lokasi strategik berikutan tentangan yang diberikan Ukraine.
Keadaan itu dibimbangi bakal mendorong Russia menggunakan senjata nuklear untuk memenangi peperangan tersebut.
“Kami tidak gila untuk melancarkan senjata nuklear. Kami tahu apa kesan dan akibatnya kepada banyak pihak.
“Kami tidak akan sewenang-wenangnya menggunakan senjata nuklear dalam perang Ukraine.
“Namun, kami juga tidak teragak-agak untuk melancarkan senjata itu sekiranya ada musuh yang menggunakannya terlebih dahulu,” tegas Putin.
Putin menjelaskan, Russia tidak akan menjadi pihak yang pertama untuk melancarkan senjata nuklear dalam konflik yang tercetus.
Sebagai reaksi terhadap kenyataan pemimpin Russia itu, Amerika Syarikat (AS) menyifatkannya sebagai ‘tidak bertanggungjawab’.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price berkata, Putin tidak seharusnya membuat kenyataan berkaitan senjata nuklear ketika peperangan masih berlaku.
“Putin bersikap tidak bertanggungjawab menerusi kenyataan yang dibuatnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Canselor Jerman, Olaf Scholz pula berpandangan risiko penggunaan senjata nuklear di Ukraine sudah berkurangan berikutan tekanan antarabangsa terhadap Russia.
“Keutamaan ketika ini adalah untuk Russia menamatkan perang secepat mungkin dan mengundurkan semua tentera dari wilayah Ukraine,” katanya. – AFP