Jururawat pula mogok di Britain - Utusan Malaysia

Jururawat pula mogok di Britain

LEBIH 100,000 jururawat mengadakan mogok di 76 hospital di Britain menyebabkan puluhan ribu temu janji pesakit dibatalkan.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Jururawat Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di Britain mengadakan mogok buat pertama kali, ekoran pertikaian dengan kerajaan berhubung kenaikan gaji sekaligus meningkatkan tekanan ke atas hospital pada waktu paling sibuk tahun ini.

Dianggarkan 100,000 jururawat  melakukan mogok di 76 hospital menyebabkan pusat kesihatan membatalkan beribu-ribu operasi tidak mendesak, seperti penggantian pinggul dan puluhan ribu temu janji pesakit luar di NHS yang dibiayai kerajaan Britain.

Menteri Kesihatan, Steve Barclay menyuarakan rasa kesal apabila sebilangan ahli kesatuan sekerja meneruskan tindakan mogok tersebut.

“Saya bekerja di seluruh kerajaan dan perubatan di luar sektor awam untuk memastikan tahap kakitangan yang selamat tetapi saya tetap bimbang tentang risiko yang ditimbulkan oleh mogok ini kepada pesakit,” jelasnya.

Mogok besar-besaran oleh jururawat semalam dan Selasa depan itu tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah 106 tahun kesatuan jururawat Britain, tetapi Kolej Kejururawatan Diraja (RCN) berkata, mereka tidak mempunyai pilihan kerana pekerja bergelut untuk memenuhi keperluan hidup.

Jururawat mahukan kenaikan gaji sebanyak 19 peratus kerana menerima gaji yang terlalu rendah selama lebih sedekad yang membawa kepada kekurangan kakitangan dan penjagaan yang tidak selamat untuk pesakit namun kerajaan enggan membincangkan isu kenaikan tersebut.

Kerajaan di Scotland mengelak mogok jururawat dengan mengadakan perbincangan mengenai gaji, hasil yang sememangnya diharapkan oleh RCN di England, Wales dan Ireland Utara tetapi Barclay tidak berganjak daripada keputusannya.

Kerajaan menegaskan tidak mampu membayar lebih daripada 4 hingga 5 peratus yang disyorkan oleh badan bebas dan kenaikan gaji selanjutnya akan menjejaskan dana perkhidmatan barisan hadapan.

RCN menuduh kerajaan melancarkan perang dan berkata sehingga Selasa bahawa mogok masih boleh dihentikan jika kerajaan bersedia untuk berunding.

Beberapa kawasan rawatan akan dikecualikan daripada tindakan mogok oleh RCN termasuk kemoterapi, dialisis dan rawatan rapi.

Tinjauan menjelang mogok jururawat menunjukkan bahawa majoriti rakyat Britain menyokong tindakan itu, tetapi sebaik mogok dijalankan, ahli politik akan memantau dengan teliti pandangan umum.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN