WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memberi amaran hubungan ketenteraan antara Russia dan Iran berkembang menjadi perkongsian pertahanan sepenuhnya yang boleh mengancam keselamatan dunia.
Kedua-dua negara juga dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan barisan pengeluaran bersama untuk menyediakan dron maut di Russia.
“Russia menawarkan Iran tahap sokongan ketenteraan dan teknikal yang belum pernah berlaku sebelum ini yang mengubah hubungan mereka kepada perkongsian pertahanan sepenuhnya.
“Saya fikir adalah penting bagi kita untuk memahami dengan jelas bahawa perkongsian ini menimbulkan ancaman, bukan sahaja kepada Ukraine, tetapi kepada negara jiran Iran di rantau ini,” kata Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby.
Jelas Kirby, AS sedang berkongsi maklumat dengan sekutunya di Asia Barat dan di seluruh dunia berhubung isu tersebut.
Australia dan AS mengumumkan sekatan terhadap tiga warga Iran dan seorang ahli perniagaan Iran kerana membekalkan Russia dengan dron untuk digunakan menentang Ukraine.
Kerjasama antara Russia dan Iran mendapat perhatian dunia baru-baru ini, selepas Ukraine menuduh Russia menggunakan dron Iran dalam serangannya.
Iran sebelum ini menafikan menghantar sebarang dron ke Russia, namun kemudian mengakui telah membekalkan beberapa pesawat sebelum pencerobohan di Ukraine berlaku.
“Russia sedang berusaha untuk bekerjasama dengan Iran dalam bidang seperti pembangunan senjata dan latihan. AS bimbang Russia berhasrat untuk menyediakan Iran dengan komponen ketenteraan canggih termasuk helikopter dan sistem pertahanan udara.
“Iran telah menjadi penyokong utama tentera Russia. Russia telah menggunakan dron Iran untuk menyerang infrastruktur tenaga dan perkhidmatan kritikal kepada berjuta-juta rakyat Ukraine.
“Rakyat di Ukraine hari ini sebenarnya sedang mati akibat tindakan Iran,” ujarnya.-AGENSI