LONDON: Beberapa hospital di Britain diarahkan untuk mengosongkan katil sebagai persiapan menghadapi gangguan besar-besaran dan situasi luar jangkaan ketika kakitangan ambulans merancang mengadakan mogok menjelang perayaan Krismas ini.
Ketua Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) dalam satu memo kepada pengarah hospital memaklumkan pesakit perlu dibenarkan keluar wad dengan selamat jika boleh, sebelum berdepan `tempoh yang mencabar itu’.
Lapor BBC, Ketua NHS England menggesa pesakit yang sudah selesai menerima rawatan perubatan dipindah keluar dari jabatan kecemasan.
Menurut Ketua pegawai operasi NHS England, Sir David Sloman, perkara itu turut melibatkan keperluan beberapa `kawasan pemantauan’ dan katil tambahan diwujudkan di hospital berkenaan.
Katanya, keputusan mengosongkan katil dibuat bagi memudahkan pergerakan orang ramai menerusi jabatan kecemasan dan membenarkan paramedik kembali bertugas.
Memo itu turut ditandatangani oleh Pengarah Perubatan Kebangsaan, Profesor Sir Stephen Powis dan Ketua Pegawai Kejururawatan, Dame Ruth May.
Dilaporkan, kakitangan ambulans merancang mengadakan mogok menuntut kenaikan gaji pada 21 dan 28 Disember ini.
Mogok itu dianjurkan oleh tiga kesatuan sekerja pemandu ambulans iaitu Unison, GMB dan Unite di England dan Wales.
Sebelum ini, Menteri Kabinet, Oliver Dowden menyifatkan mogok itu mampu mencetuskan `risiko besar’ kepada orang ramai dan menggesa pemimpin kesatuan sekerja supaya membatalkannya.
Sementara itu, NHS memaklumkan janji temu pesakit juga boleh ditangguhkan buat sementara waktu bagi membolehkan kakitangan perubatan kanan dipindahkan ke jabatan kecemasan untuk mengambil alih tugas mereka.