SYDNEY: Polis Persekutuan Australia mengesahkan pihaknya sudah menahan ketua sindiket pengedaran dadah global dikenali sebagai ‘El Chapo Asia’ selepas dia diekstradisi dari Belanda.
Menurut polis, dengan penahanan lelaki tersebut, ia mengakhiri siasatan sindiket jenayah terancang yang dikenali sebagai ‘Sam Gor’ atau ‘The Company’ yang berlarutan sekian lama.
Sindiket itu dikatakan menyeludup dadah jenis methamphetamine yang bernilai jutaan dolar ke Australia.
Bagaimanapun, polis tidak memperincikan butiran mengenai identiti ketua sindiket itu, kerana kebiasaannya tidak mendedahkan nama individu ditahan sebelum perbicaraan.
Dalam pada itu, menurut seorang sumber, lelaki ditahan ialah warga Kanada bernama Tse Chi Lop dan dia berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabit kesalahan.
Sementara itu, polis Australia berjaya menahan lelaki kedua berkaitan kes dadah pada Jun lalu.
“Suspek kedua itu sudah didakwa oleh polis hari ini selepas ditahan pada Jun lalu kerana bersubahat mengedar sejumlah kuantiti methamphetamine dalam Australia.
“Polis akan menjadikan Australia sebagai persekitaran mencegah semua sindiket jenayah terancang transnasional yang menyasarkan penduduk negara ini,” kata Penolong Pesuruhjaya Polis Persekutuan Australia, Krissy Barrett.
Pada 2019, agensi berita Reuters melaporkan Chi Lop adalah sasaran utama bagi Operasi Kungur, iaitu siasatan yang diketuai oleh polis Australia membabitkan kira-kira 20 agensi penguatkuasa dari Asia, Amerika Utara dan Eropah.- REUTERS