BALI: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky merayu pemimpin dunia pada sidang kemuncak G20 untuk membantu melanjutkan perjanjian eksport bijirin penting di negaranya yang bakal tamat tidak lama lagi.
Zelensky memberikan ucapan menerusi video yang disiarkan kepada para pemimpin yang menghadiri sidang kemuncak di Bali itu.
Beliau turut menggariskan beberapa strategi, termasuk memastikan keselamatan nuklear dan makanan, menamatkan permusuhan, dan mengelak kekacauan.
Beliau berkali-kali merujuk pemimpin persidangan itu sebagai sebagai G19, berikutan tidak menganggap Russia sebagai sebahagian daripada 20 negara itu.
Antara permintaannya ialah lanjutan daripada apa yang dikenali sebagai perjanjian bijirin Laut Hitam yang dibuat pada Julai lalu antara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Russia.
Perjanjian itu memastikan bahawa eksport makanan yang disekat di pelabuhan Ukraine oleh kapal perang Russia boleh dihantar keluar.
PBB berkata sejak perjanjian itu bermula, 10 juta tan bijirin dan makanan lain berjaya dieksport sekaligus membantu mengelakkan krisis makanan global.
Tetapi perjanjian itu bakal tamat pada Sabtu ini.
Bercakap mengenai keselamatan makanan, Zelensky berkata, perjanjian itu harus dilanjutkan selama-lamanya, tidak kira bila perang akan berakhir.
Beliau menegaskan hak untuk mendapatkan makanan adalah hak asasi setiap individu di dunia selain turut mencadangkan untuk memperluaskan perjanjian itu ke pelabuhan lain di wilayah Mykolaiv.-AGENSI