SAN FRANCISCO: Twitter memanggil kembali puluhan kakitangannya yang diberhentikan secara tidak sengaja ketika syarikat itu membuat pengumuman drastik menamatkan perkhidmatan lebih 50 peratus tenaga kerjanya Jumaat lalu.
Menurut laporan Bloomberg, beberapa pekerja diberhentikan tetapi pihak pengurusan kemudian menyedari perkhidmatan mereka diperlukan untuk membina ciri baharu platform dalam talian yang diinginkan pemilik baharu syarikat itu, Elon Musk.
Twitter membuang lebih 3,700 pekerja Jumaat lalu dan ramai pekerja hanya mengetahui jawatan mereka sudah ditamatkan selepas akses mereka kepada sistem syarikat, seperti Slack dan emel, secara tiba-tiba terputus.
Syarikat itu masih mempunyai kira-kira 3,700 pekerja namun ada yang dilaporkan terpaksa tidur di pejabat untuk mengejar tarikh akhir membangunkan dan melaksanakan ciri baharu tersebut.
Menurut wartawan Silicon Valley, Casey Newton, ekoran itu, pekerja yang kekal dalam saluran Twitter Slack diminta pada hujung minggu lalu untuk mencalonkan nama bekas pekerja yang berpotensi diserap semula syarikat itu.
Musk melalui akaun peribadinya memaklumkan syarikat itu akan melancarkan ciri baharu tambahan termasuk pengurangan iklan, keupayaan menyiarkan video lebih panjang dan ciri yang membolehkan pengguna menerima kedudukan keutamaan dalam balasan, sebutan serta carian.
Sebelum ini, Twitter juga dilaporkan akan melancarkan pelan langganan Twitter Blue baharu yang menawarkan tanda semak pengesahan untuk mana-mana pengguna dengan bayaran AS$8 (RM37.95) sebulan hujung minggu lalu.
Namun semalam, New York Times melaporkan syarikat itu terpaksa menangguhkan perubahan pada program tersebut sehingga pilihan raya pertengahan penggal selesai.