Sunak tolak cadangan pindahkan kedutaan Britain ke Baitulmaqdis - Utusan Malaysia

Sunak tolak cadangan pindahkan kedutaan Britain ke Baitulmaqdis

BRITAIN memilih untuk tidak meneruskan rancangan memindahkan pejabat kedutaannya yang kini berada di Tel Aviv.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak menolak cadangan memindahkan kedutaan negara ini di Israel ke Baitulmaqdis seperti yang pernah diutarakan bekas penyandangnya, Lizz Truss sebelum ini.

Lapor The Guardian, perkembangan itu diumumkan selepas pegawai kerajaan United Kingdom (UK) menjawab soalan sekumpulan wartawan asing ketika ditanya sama ada kerajaan UK masih mempertimbangkan mengenai langkah itu.

“Perkara itu sudah dilihat. Tiada rancangan untuk memindahkan kedutaan Britain dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis,” kata jurucakap Downing Street.

Ketika menjadi Perdana Menteri, Truss mengarahkan semakan dibuat untuk menilai sama ada UK akan menyertai pentadbiran bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam isu memindahkan kedutaan negaranya dari Tel Aviv.

Truss sebelum ini turut memberitahu Perdana Menteri Israel, Yair Lapid pihaknya sedang menjalankan kajian semula tentang isu itu ketika kedua-duanya bertemu di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bang-bangsa Bersatu (PBB) di New York pada September lalu.

Cadangan itu menerima pelbagai reaksi daripada pemimpin gereja, kumpulan pro-Palestin, Duta Arab di London, Kementerian Luar Eropah dan beberapa Ahli Parlimen Konservatif di kawasan yang mempunyai populasi umat Islam yang ramai.

Dalam pada itu, Duta Palestin ke UK, Husam Zomlot menyambut baik penjelasan tersebut dan mengalu-alukan langkah terbaharu yang diambil kerajaan Britain itu.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan UK, pemimpin agama, aktivis dan orang ramai kerana usaha membantu UK mengekalkan keputusan yang selaras dengan undang-undang antarabangsa dalam perkara ini. 

“Soalan mengenai lokasi kedutaan UK sepatutnya tidak perlu ditanya sejak dari awal lagi,” ujarnya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN