TEMERLOH: Polis menahan dua lelaki dalam serbuan berasingan dan merampas rebusan air ketum sedia edar serta pelbagai jenis dadah bernilai RM16,000, hasil Ops Hawk di kawasan Kerdau dan Kuala Krau, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nasyim Bahron berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira pukul 1 pagi di sebuah premis di Kampung Peragap, Kerdau, sebelum menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30 tahun.
Beliau berkata, pemeriksaan menemukan 19 bungkusan plastik berikat getah disyaki berisi air ketum yang direbus sendiri oleh suspek untuk dijual kepada pelanggan.
“Suspek mengaku air ketum itu adalah hasil rebusannya untuk tujuan edaran. Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Menurut Mohd. Nasyim, serbuan kedua pada pukul 2.15 pagi di Kampung Rumpun Makmur, Kuala Krau membawa kepada penangkapan seorang lelaki berusia 45 tahun yang mempunyai tujuh rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menjumpai beberapa paket plastik disyaki mengandungi dadah jenis heroin, syabu dan pil yaba. Anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah RM16,000,” jelasnya.
Beliau berkata, suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN










