SINGAPURA: Laman media sosial perlu menyekat akses kepada kandungan berbahaya dengan kadar segera selepas undang-undang untuk mengukuhkan keselamatan dalam talian diluluskan oleh Parlimen Singapura hari ini.
Jika platform dalam talian enggan mengeluarkan kandungan berbahaya, Pihak Berkuasa Pembangunan Media Infocomm (IMDA) boleh mengeluarkan arahan kepada penyedia perkhidmatan internet untuk menyekat akses oleh pengguna di Singapura.
Pertama kali dibentangkan pada 3 Oktober lalu, Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Talian (Pelbagai Pindaan) memberi kuasa kepada IMDA untuk menangani kandungan dalam talian berbahaya yang boleh diakses oleh pengguna Singapura, tidak kira di mana kandungan itu dihoskan atau dimulakan.
Lapor Channel News Asia, ketika ini, Akta Penyiaran Singapura tidak meliputi entiti yang beroperasi di luar negara.
Menteri Komunikasi dan Maklumat, Josephine Teo berkata, terdapat pengecualian terhadap komunikasi peribadi daripada liputan di bawah undang-undang tersebut.
Tetapi pengguna akan mendapat bantuan kerana draf kod amalan untuk keselamatan dalam talian memerlukan perkhidmatan media sosial yang ditetapkan untuk menyediakan mekanisme laporan pengguna yang mudah diakses.