PETALING JAYA: Polis mengesahkan seorang Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung penemuan dadah di rumahnya, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek direman bermula semalam hingga esok.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika dihubungi hari ini.
SPRM dalam kenyataan di sini hari ini berkata, pegawai berkenaan ditahan polis di kediamannya bagi membantu siasatan lanjut.
“Penahanan berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan kami mengambil maklum mengenai penahanan pegawai terbabit yang baharu sahaja melapor diri untuk bertugas di Suruhanjaya ini minggu lalu,” katanya. – UTUSAN










