Pertunjukan bunga api di Himalaya cetus kemarahan aktivis

Pertunjukan bunga api di Himalaya cetus kemarahan aktivis

TANGKAP layar video menunjukkan bunga api dipasang di kaki pergunungan Himalaya. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Pertunjukan bunga api berwarna-warni di kaki pergunungan Himalaya mencetuskan kecaman hebat daripada aktivis alam sekitar, sekali gus memaksa jenama pakaian lasak global Arc’teryx tampil memohon maaf sebelum disiasat pihak berkuasa tempatan di China.

Jenama yang berpangkalan di Kanada tetapi dimiliki syarikat China itu bergabung dengan artis terkenal Cai Guo-Qiang bagi menganjurkan pertunjukan bunga api gergasi bertajuk ‘Rising Dragon’ pada Jumaat lalu di dataran tinggi Tibet, kira-kira 5,500 meter dari paras laut di Shigatse, bandar kedua terbesar di Wilayah Autonomi Tibet.

Sebuah video rasmi yang sudah dipadamkan memaparkan bunga api dilepaskan dari puncak gunung, membentuk garisan berliku yang disamakan Cai iaitu perancang pertunjukan bunga api Sukan Olimpik Beijing 2008 dengan seekor naga.

Namun, aksi itu segera mengundang kritikan di media sosial China, dengan ramai pengguna mengecam acara berkenaan sebagai tidak peka terhadap potensi kerosakan ekosistem semula jadi di kawasan pergunungan yang masih terpelihara.

Pada Ahad, pihak berkuasa tempatan mengumumkan siasatan rasmi. Lebih 92 juta pengguna media sosial Weibo membaca hantaran berkaitan siasatan itu dalam tempoh dua hari.

“Jawatankuasa parti dan kerajaan Shigatse memandang serius perkara ini dan telah menubuhkan pasukan penyiasat untuk dihantar segera ke lokasi bagi menjalankan siasatan,” menurut kenyataan yang dimuat naik di platform WeChat.

Menurut kenyataan itu, tindakan lanjut akan diambil mengikut undang-undang dan peraturan.

Arc’teryx yang diasaskan di Kanada sebelum diambil alih oleh konsortium diketuai gergasi pakaian sukan China, Anta Sports pada 2019, mengeluarkan permohonan maaf di Weibo dan Instagram pada Isnin.

“Acara ini jelas bertentangan dengan komitmen kami terhadap pemeliharaan alam semula jadi, identiti kami serta nilai yang kami ingin bawa kepada masyarakat. Kami amat kecewa perkara ini berlaku dan dengan penuh rasa kesal memohon maaf, tanpa pengecualian,” kata kenyataan di Instagram.

Jenama yang semakin popular dalam kalangan kelas pertengahan China itu turut menyatakan di Weibo mereka akan menjemput sebuah organisasi alam sekitar pihak ketiga untuk menjalankan penilaian telus serta mengambil langkah berkesan bagi menebus sebarang kerosakan yang mungkin telah berlaku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×