Sewa rumah naik mendadak, ekspatriat di Singapura terpaksa ikat perut

Sewa rumah naik mendadak, ekspatriat di Singapura terpaksa ikat perut

KADAR sewaan rumah di Singapura dilaporkan meningkat sehingga 70 peratus. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Golongan ekspatriat di republik ini berdepan tekanan dan cabaran untuk membayar kadar sewa kediaman yang dilaporkan meningkat sehingga 70 peratus.

Jang Moon-kyong yang berasal dari Korea Selatan memberitahu, dia kini membayar sebanyak S$2,000 (RM6,710) sebulan untuk sebuah bilik utama di kondominium berhampiran kawasan Boon Keng dan tempoh sewaannya tamat pada Mac tahun depan.

Namun, pada bulan lalu, ejennya memaklumkan kepadanya bahawa dia perlu berpindah dalam masa dua bulan jika enggan membayar kadar sewa baharu yang ditetapkan, iaitu antara S$2,800 hingga S$3,000 (RM9,393) hingga RM10,064) sebulan, bermula Januari depan.

Tidak mahu membebankan dirinya, Moon-kyong bersama rakannya merancang menyewa unit lain pada harga S$4,000 (RM13,419), namun terpaksa membatalkan hasrat mereka selepas tuan rumah meminta tambahan sebanyak S$1,000 (RM3,355).

Berdasarkan data daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar, harga sewaan bagi rumah persendirian meningkat sebanyak 8.6 peratus pada suku ketiga tahun ini, iaitu paling tinggi sejak 2007.

Kadar sewaan yang ditetapkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) juga merekodkan peningkatan, mencecah paras tertinggi pada suku ketiga dan meningkat 7.5 peratus setiap suku.

Dalam sembilan pertama tahun 2022, kadar sewaan HDB melonjak 20.9 peratus.

Menteri Pembangunan, Desmond Lee memaklumkan, kerajaan memantau pasaran dengan teliti kerana kenaikan harga sewa mungkin menjejaskan peluang ekspatriat dan penduduk tempatan yang perlu menyewa di republik ini.

Dalam pada itu, faktor kenaikan harga sewa itu juga berpunca daripada permintaan yang tinggi, namun tidak banyak rumah yang boleh disewakan.

Penangguhan banyak projek pembinaan rumah akibat pandemik Covid-19 menyebabkan bekalan terhad, sekali gus melonjakkan permintaan sewaan rumah.

Bagi rakyat Malaysia, Gloria Rezman, 32, yang bekerja dalam bidang pemasaran memaklumkan, dia juga terpaksa mencari rumah lain selepas tuan rumahnya merancang untuk menjual rumah yang mereka sewa.

Gloria dan suaminya membayar sewa sebanyak S$2,050 (RM6,887) sebulan dan kini terpaksa berdepan dengan kenaikan yang mendadak.

“Disebabkan terlalu banyak permintaan, tuan rumah senang-senang menaikkan harga sewa dan seolah-olah mengugut, jika tidak mahu, ramai lagi yang mahu duduk di rumah ini.

“Mungkin kami masih mampu membayar sewa semahal ini, tapi sehingga bila? Banyak yang kami perlu catu atau kurangkan demi membayar sewa rumah,” keluhnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya