SEOUL: Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol hari ini memohon maaf susulan tragedi sambutan Halloween yang mengorbankan ratusan nyawa di Seoul.
Beliau berikrar akan mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang terlibat, termasuk anggota keselamatan yang cuai, selain bakal melakukan rombakan dalam pasukan polis dan pengurusan keselamatan.
Tragedi pada 29 Oktober itu menyebabkan 156 individu terkorban dengan kebanyakannya berusia sekitar 20 dan 30-an, serta197 lagi dilaporkan cedera.
Suk-yeol membuat permohonan maaf ketika mesyuarat untuk mengkaji semula peraturan keselamatan dengan negara masih berkabung susulan tragedi berdarah itu.
“Saya tidak berani membandingkan diri dengan ibu bapa yang kehilangan anak lelaki dan perempuan mereka tetapi sebagai presiden yang sepatutnya melindungi nyawa dan keselamatan rakyat, saya amat berdukacita.
“Saya kesal dan memohon maaf kepada keluarga mangsa tragedi dan kepada semua yang berkongsi kesakitan dan kesedihan ini,” katanya.
Polis berdepan kritikan awam berhubung tindak balas mereka kerana hanya menghantar 137 pegawai ke kawasan berkenaan, walaupun menganggarkan lebih awal bahawa seramai 100,000 orang akan berkumpul di lokasi itu.
Minggu lalu, transkrip beberapa panggilan kecemasan yang dibuat beberapa jam sebelum kemalangan itu menunjukkan orang ramai memberi amaran mengenai kemungkinan kemalangan berlaku dan menggesa campur tangan pihak berkuasa.
Pada mulanya, Suk-yeol menyifatkan pengendalian pihak berkuasa dalam insiden itu sebagai kelemahan dalam pengurusan orang ramai dan peraturan keselamatan negara.
Bagaimanapun, susulan laporan transkrip panggilan itu, Suk-yeol menegur pihak polis dan memohon maaf kepada mangsa dan rakyat. – REUTERS










