LIMA: Beribu-ribu warga Peru berhimpun di jalanan bagi mengadakan protes menuntut Presiden Pedro Castillo segera meletak jawatan.
Menurut penyiar radio Programas del Peru (RPP), protes berlangsung di bandar utama di Lima serta wilayah Piura, Trujillo, Chiclayo, Cusco dan Huancayo.
Demonstrasi berjalan secara aman namun di Lima, polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata menyebabkan seorang daripada penunjuk perasaan cedera.
Castillo sebelum ini terpalit dengan tuduhan rasuah menyebabkan majoriti rakyat menuntut beliau berundur.
Pada Julai lalu, pejabat pendakwa raya mengumumkan pihaknya menyiasat Castillo selepas bekas menteri dalam negeri Mariano Gonzalez mendakwa Castillo melindungi orang-orang terdekatnya yang terbabit dalam kes jenayah.
Pada awal Ogos, pendakwa raya Peru menyerbu istana kerajaan di Lima serta rumah presiden di Chota untuk mencari Yenifer Paredes kerana disyaki terbabit dengan jenayah rasuah.
Yenifer Paredes ialah kakak kepada isteri Castillo, Lilia Paredes Navarro.
Pada akhir Ogos, Yenifer dikenakan tahanan pencegahan selama 30 bulan.
Castillo menafikan semua tuduhan terhadapnya serta keluarganya.