Lelaki culas bayar nafkah

Lelaki culas bayar nafkah

MOHD NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sikap culas lelaki me­lunaskan tuntutan nafkah de­ngan memberi pelbagai alasan bu­kan sahaja meretakkan rumah tang­ga, malah menjadi punca kepada peningkatan jumlah tunggakan bayaran nafkah sebanyak RM10.5 juta yang direkodkan di seluruh negara setakat ini.

Jumlah itu, jauh lebih tinggi berbanding RM3.13 juta yang di­putuskan oleh Mahkamah Sya­riah sebagai jumlah nafkah semasa yang sepatutnya dibayar oleh pihak bertanggungjawab.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, antara alasan paling kerap dikemukakan oleh suami yang culas membayar nafkah adalah tidak mampu daripada segi kewangan kerana telah berkahwin lain.

Katanya, ada juga antara suami itu tiada pendapatan tetap, hilang keupayaan kekal untuk bekerja, diisytihar bankrap atau terlibat dengan masalah ketagihan dadah.

“Bagi suami yang gagal melaksanakan perintah pembayaran nafkah, mahkamah syariah mempunyai kuasa mengenakan pelbagai tindakan termasuk saman penghutang penghakiman, sama ada bayaran sekali gus atau ansuran.

“Selain itu, potongan gaji melalui majikan juga boleh dilakukan, mengenakan sekatan akaun bank (hiwalah), perintah penghinaan mahkamah dan sitaan, penjualan atau lelongan harta.

“Hukuman penjara tidak melebihi 30 hari bagi kes gagal tunjuk sebab selepas notis penghakiman,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengikut rekod Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Ja­batan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), sebanyak 831 permohonan tuntutan tunggakan nafkah direkodkan di seluruh negara dengan 566 kes berjaya diselesaikan setakat ini.

Selangor mencatatkan jumlah tunggakan tertinggi iaitu RM2.3 juta, diikuti Perak (RM2.82 juta), Kuala Lumpur (RM1.52 juta), Johor (RM1.17 juta), Negeri Sembilan (RM441,775) dan Kedah (RM334,180).

Menurut Mohd. Na’im yang pernah menjawat Ketua Hakim Syarie, perbezaan ketara antara jumlah yang diperintahkan oleh mahkamah dan jumlah tunggakan menunjukkan masih ramai pihak gagal melunaskan tanggungjawab nafkah terhadap bekas isteri atau anak masing-masing.

Beliau menjelaskan, jumlah yang diputuskan oleh mah­kamah merujuk kepada kadar nafkah semasa atau bulanan yang ditetapkan oleh mahkamah syariah untuk dibayar oleh seseorang (lazimnya suami atau bapa) kepada pihak yang berhak seperti isteri atau anak.

“Sebaliknya, jumlah tunggakan nafkah adalah bayaran yang gagal dijelaskan, sama ada sebelum atau selepas pe­rintah mahkamah dikeluarkan.

“Sebagai contoh, sekiranya suami tidak membayar nafkah anak selama 10 bulan, tunggakan yang perlu dijelaskan ialah RM5,000 (RM500 × 10 bulan),” katanya.

Menurut Mohd. Na’im, an­tara nafkah yang boleh dituntut termasuk nafkah isteri, iaitu kewajipan suami untuk menanggung keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Ini termasuk tuntutan nafkah anak, iaitu tanggungjawab bapa menyara anak sehingga ber­usia 18 tahun atau ke peringkat pengajian ijazah pertama; serta nafkah idah, iaitu nafkah wajib kepada isteri selepas perceraian untuk tempoh idah.

“Penentuan jumlah nafkah yang diberikan kepada isteri atau anak pula bergantung kepada tiga asas utama, iaitu keperluan pihak yang me­nerima nafkah, kemampuan pihak yang wajib membayar, dan asas keadilan serta kepatutan yang ditentukan oleh mahkamah.

“Keperluan itu merangkumi perbelanjaan asas seperti makanan, pendidikan, kesihatan dan keselesaan hidup manakala kemampuan suami diukur berdasarkan pendapatan, keadaan kewangan dan kesanggupan membayar,” katanya.

Mohd. Na’im berkata, hakim juga akan mempertimbangkan keadilan serta keperluan semasa sebelum menetapkan amaun yang bersesuaian.

Katanya, mahkamah syariah mempunyai usaha berterusan dalam membantu wanita dan anak-anak menuntut hak mereka.

Namun, ia juga mencerminkan keperluan memperkukuh kesedaran tanggungjawab mo­ral dan undang-undang dalam kalangan lelaki Muslim bagi memastikan keadilan keluarga Islam terus terpelihara.

Sementara itu, Mohd. Na’im berkata, BSK melalui JKSM akan menyita simpanan bank bekas suami yang culas membayar nafkah, menerusi kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau berkata, langkah itu antara tindakan baharu yang akan dilaksanakan BSK bagi memastikan perintah nafkah dipatuhi sepenuhnya.

“Pelbagai pendekatan digunakan pegawai BSK untuk menguatkuasakan perintah ke­wajipan nafkah, termasuk mengeluarkan perintah supaya simpanan penghutang penghakiman disita oleh mah­kamah melalui kerjasama de­ngan BNM,” katanya di Dewan Rakyat, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN