Qatar nafi diboikot peminat bola sepak - Utusan Malaysia

Qatar nafi diboikot peminat bola sepak

QATAR menolak dakwaan diboikot peminat bola sepak ekoran isu pekerja asing dan golongan LGBT.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Qatar menafikan dakwaan kononnya penganjuran piala dunia di negara ini diboikot ramai pihak ekoran isu berkaitan hak asasi manusia malah menegaskan tiket untuk setiap perlawanan sudah hampir habis dijual.

Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani memberitahu, seluruh dunia tidak sabar menantikan kejohanan tersebut yang akan membuka tirai di Doha 20 November ini dan ugutan untuk memulaukan penganjuran perlawanan bola sepak itu hanya melibatkan segelintir individu sahaja.

“Realitinya dunia sedang menantikan penganjuran ini. Lebih 97 peratus tiket telah dijual. Kami dapati negara Eropah terutama Perancis antara 10 negara yang membeli tiket paling banyak,” ujarnya.

Qatar adalah negara pertama di Asia Barat yang menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Dunia tetapi negara ini berdepan gelombang kritikan sejak dianugerahkan peluang penganjuran kejohanan itu pada tahun 2010. 

Layanannya terhadap pekerja asing dan rekod hak asasi manusia melibatkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menjadi perhatian sehingga menjurus kepada gesaan agar pasukan memboikot kejohanan itu.

Beberapa bintang bola sepak sebelum ini membangkitkan kebimbangan mengenai hak serta keselamatan peminat yang melancong untuk acara itu terutamanya golongan LGBT yang kononnya sering didiskriminasi di Qatar.

Pegawai Qatar bagaimanapun menegaskan dakwaan yang dimulakan Kumpulan hak asasi manusia (HRW) itu mengandungi maklumat yang jelas palsu dan tidak berasas.

Budaya LGBT jelas haram dan ditolak keras bukan hanya di negara Islam konservatif itu malah bagi semua umat Islam dan Qatar meminta agar prinsip tersebut dihormati serta difahami oleh seluruh masyarakat dunia. 

Selain itu, sistem kafala yang digunakan majikan di Qatar turut dikritik kumpulan hak asasi manusia kerana mengikat pekerja asing kepada majikan mereka yang dikhuatiri membawa kepada penderaan atau eksploitasi.

Namun sistem kafala itu telah dimansuhkan pada Ogos 2020 di Qatar bersama beberapa perubahan penting lain, termasuk pengenalan gaji minimum.

Beberapa negara anggota Majlis Kerjasama Teluk turut  menggubal pembaharuan kepada sistem kafala mereka sejak beberapa tahun lalu.

“Ini benar untuk mana-mana negara dan bukan melibatkan Qatar sahaja. Sudah tentu masih ada kelemahan dan kami berazam untuk memperbaikinya.

“Adalah amat berat sebelah untuk secara terus menyalahkan kerajaan Qatar atas masalah yang dihadapi buruh sedangkan di Eropah insiden serupa dipertanggungjawabkan kepada syarikat atau majikan,” jelas Sheikh Mohammed.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.