SYDNEY: Kumpulan penggodam yang membocorkan rekod perubatan yang dicuri daripada sebuah syarikat penjagaan kesihatan utama Australia menuntut sebanyak AS$10 juta (RM47 juta) untuk menghentikan proses tersebut.
Medibank pada awal minggu ini mengesahkan kumpulan penggodam berjaya mendapatkan akses maklumat 9.7 juta milik pelanggan sedia ada dan bekas pelanggan, termasuk Perdana Menteri Anthony Albanese.
Kumpulan penggodam itu mendedahkan satu senarai yang mengandungi nama pelanggan Medibank yang pernah menjalani rawatan untuk ketagihan dadah, alkohol dan HIV.
Medibank juga mengakui bahawa sejumlah fail tambahan yang dipercayai mengandungi data pelanggan dimuat naik dalam forum ‘dark web’ semalam.
Kumpulan penggodam itu turut menggunakan forum yang sama untuk menuntut wang pampasan tersebut.
“Kami ditanya mengenai wang pampasan dan jumlah yang dituntut adalah AS$10 juta.
“Kami boleh berikan diskaun iaitu AS$1 (RM4) untuk setiap pelanggan,” kata kumpulan tersebut.
Bagaimanapun, Medibank sehingga kini bertegas untuk tidak membayar wang tuntutan tersebut.
Ketua pegawai eksekutifnya, David Kockzar menyifatkan tindakan kumpulan penggodam itu amat tidak wajar.
Kumpulan penggodam itu sebelum ini pernah mengugut untuk menjual data 1,000 profil rakyat Australia sekiranya Medibank tidak membayar wang tuntutan. – AFP