Penduduk Nusantara cecah 200,000 pada 2024, tarik pelabur asing

Penduduk Nusantara cecah 200,000 pada 2024, tarik pelabur asing

ILUSTRASI Istana Presiden yang bakal dibina pada masa depan di ibu negara baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan Timur.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Jumlah penduduk di Ibu Kota Nusantara (IKN) dijangka mencapai 200,000 pada tahun 2024 dan angka tersebut dilihat mampu menarik pelabur asing menanam modal dan menjalankan perniagaan di bandar itu.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pihak Berkuasa Ibu Kota Nusantara (IKN), Bambang Susantono yang turut memberitahu angka tersebut adalah jumlah keseluruhan daripada seluruh elemen masyarakat yang akan tinggal di IKN pada 2024.

Menurut Bambang, kerajaan akan menghimpunkan jumlah populasi yang mencerminkan kemampuan kuasa membeli sehingga pelabur dan syarikat swasta semakin tertarik membangun IKN.

“Kita akan membentuk populasi yang cukup untuk menarik pelabur asing. Kumpulan itu termasuk badan kehakiman, tentera, polis, penduduk tempatan, dan para pekerja. Kita tidak akan memisahkan mereka, semuanya warga IKN,” katanya ketika mengadakan taklimat di Kompleks Istana Kepresidenan Jakarta.

Bambang berkata, kerajaan giat membangun infrastruktur kesihatan dan pendidikan untuk memenuhi keperluan penting penduduk IKN pada 2024.

“Ada sekolah-sekolah, guru dan lain-lain keperluan bidang pendidikan akan dibangunkan. Kemudian ada hospital, klinik serta pegawai perubatan dan jururawat yang akan turut dibawa masuk dalam melengkapkan pemetaan kawasan itu,” ujarnya.

Dalam pada itu Bambang menjelaskan, pembangunan infrastruktur di IKN sudah meliputi akses kepada logistik, pembekalan sumber air mentah dan pemetaan lot tanah bagi membantu pelabur asing melihat hala tuju dan lokasi sesuai untuk menjalankan perniagaan mereka.

“Selepas semua ini sudah tersedia, jika ada pelabur mahu melihat ke mana mereka akan pergi dan apa yang boleh dilakukan, kita mesti sudah bersedia untuk menunjukkan semua maklumat itu kepada mereka,” jelasnya.

Sementara itu, pembangunan infrastruktur fizikal secara besar-besaran di IKN akan dimulakan pada Januari 2023 selaras dengan jumlah kontrak tender projek yang akan ditandatangani pada penghujung tahun ini.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN