KYIV: Pihak berkuasa Kyiv menyarankan penduduk di bandar raya ini supaya membuat persiapan rapi, termasuk membeli ‘power bank’ dan baju sejuk yang mencukupi sebagai persediaan sekiranya bekalan elektrik terputus secara total.
Keadaan itu disulitkan dengan cuaca yang semakin sejuk.
Datuk bandar Kyiv, Vitali Klitschko berkata, penduduk juga diberi pilihan untuk berpindah ke tempat lain sekiranya bekalan elektrik putus sepenuhnya.
Lapor The Guardian, risiko bekalan elektrik terputus sepenuhnya semakin meningkat selepas Russia semakin agresif melancarkan serangan terhadap infrastruktur tenaga di bandar raya ini.
“Jika anda mempunyai keluarga yang besar atau saudara di luar Kyiv serta rumah mereka lengkap dengan alat pemanas, adalah digalakkan untuk anda berpindah buat sementara waktu dari bandar raya ini.
“Walau apa pun yang berlaku, pihak berkuasa akan memastikan senario seperti itu tidak berlaku dan kita semua tidak perlu meninggalkan rumah masing-masing,” katanya.
Sehingga Ahad lalu, pihak berkuasa masih mencatu penggunaan bekalan elektrik di Kyiv dan enam wilayah lain.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyatakan, lebih 4.5 juta rakyat negara ini dengan kebanyakannya di Kyiv hidup bergelap dan terpaksa menggunakan elektrik dalam keadaan terhad.
“Kita sedang menghadapi kesukaran ketika ini yang diakibatkan oleh tindakan tidak bertanggungjawan Russia,” ujarnya.
Terdahulu, tentera Russia melancarkan serangan terhadap Loji Nuklear Zaporizhzhia menyebabkan bekalan elektrik terputus.