PRAVDYNE, Ukraine: Selepas lebih lapan bulan tentera Russia menguasai perkampungannya berhampiran Kherson, Svetlana Galak akhirnya menitiskan ‘air mata kegembiraan’ apabila askar Ukraine berjaya menawan kembali wilayah tersebut.
“Saya tidak tahu bila tentera Russia menawan wilayah ini, tapi sekarang yang pasti, tentera Ukraine sudah berada di sini untuk melindungi kami.
“Akhirnya, Ukraine sudah bebas daripada cengkaman Russia,” ujarnya.
Kampung Galak terletak 20 kilometer ke barat laut Kherson yang ditawan Russia sejak Februari lalu.
Pada Jumaat lalu, Russia mengundurkan lebih 30,000 tenteranya dari wilayah tersebut dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengisytiharkan Kherson kembali menjadi milik mereka.
Selepas pengunduran tentera Russia, pasukan sukarelawan mula memasuki wilayah tersebut untuk menyalurkan bekalan makanan.
Menurut sumber tidak rasmi, sepanjang pendudukan Russia di Kherson, sekurang-kurangnya 23 penduduk maut akibat pertempuran dan serangan udara. – AFP