Nilai kekayaan bilionair China catat penurunan terbesar - Utusan Malaysia

Nilai kekayaan bilionair China catat penurunan terbesar

ZHONG SHANSHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Nilai kekayaan bilionair China mencatat penurunan terbesar dalam tempoh lebih dua dekad berdasarkan senarai terbaharu yang dikeluarkan baru-baru ini. 

Hurun Rich List menyenaraikan orang terkaya di China dengan nilai bersih minimum 5 bilion yuan (RM3.26 bilion), tetapi hanya 1,305 individu mencapai jumlah tersebut tahun ini, menurun 11 peratus berbanding tahun lepas. 

Jumlah keseluruhan kekayaan mereka bernilai AS$3.5 trilion (RM16.5 trilion), menyusut 18 peratus daripada tahun lalu sementara bilangan bilionair dalam dolar Amerika Syarikat (AS) menurun sebanyak 239 orang tahun ini. 

“Tahun ini menyaksikan kejatuhan terbesar dalam senarai individu terkaya di China dalam tempoh 24 tahun,” ujar Pengerusi dan Ketua Penyelidik Hurun Report, Rupert Hoogewerf yang bertanggungjawab menyusun senarai tersebut.

Tinjauan global menunjukkan perang di Ukraine, penyusutan nilai hartanah dan kejatuhan pasaran saham yang diburukkan lagi oleh dasar sifar Covid yang sangat ketat memberi kesan serius kepada golongan paling kaya di China tahun ini.

Hartawan China, Zhong Shanshan, yang menerajui syarikat pembotolan air Nongfu Spring dan pengeluar vaksin, Beijing Wantai Biological Pharmacy Enterprise menduduki tempat pertama dalam senarai tersebut untuk tahun kedua berturut-turut, dengan nilai kekayaan AS$65 bilion (RM307.8 bilion).

Pengasas ByteDance yang memiliki TikTok, Zhang Yiming, menduduki tempat kedua tetapi menyaksikan kekayaannya susut 28 peratus kepada AS$35 bilion (RM165 bilion)  ekoran kejatuhan nilai syarikatannya sementara Pengerusi gergasi bateri CATL, Zeng Yuqun di tempat ketiga.

Pengasas Tencent, Pony Ma mencatatkan penurunan kedua terbesar ekoran kemerosotan harga saham teknologi apabila menduduki tempat kelima manakala Pengasas Alibaba, Jack Ma dan keluarganya jatuh empat anak tangga untuk menduduki tempat kesembilan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya