Kumpulan pekerja di Eropah lancar mogok, dakwa bayaran gaji tidak setimpal - Utusan Malaysia

Kumpulan pekerja di Eropah lancar mogok, dakwa bayaran gaji tidak setimpal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kemerosotan ekonomi global yang dialami kebanyakan negara di seluruh dunia hari ini menyaksikan sebahagian besar negara Eropah melancarkan tunjuk perasaan dan mogok pekerja berikutan kenaikan kos sara hidup yang tidak selaras dengan gaji diterima.

Di Britain, golongan jururawat di seluruh negara dijangka mengadakan mogok pertama dalam sejarah 106 tahun kesatuan mereka pada bulan depan berhubung isu yang sama, iaitu bayaran gaji tidak setimpal.

Jururawat di England, Wales dan Ireland Utara akan memulakan mogok pada 15 dan 20 Disember ini, selepas Kesatuan Kolej Kejururawatan Diraja (RCN) berkata kerajaan menolak tawaran untuk mengadakan rundingan.

Selain itu, kira-kira 400 kakitangan penghantaran makanan segera Best Food Logistics milik Tesco mengundi untuk mengadakan mogok membabitkan gaji, kata kesatuan GMB pada Khamis lalu.

Pekerja pos UK pula akan melancarkan mogok enam hari menjelang Krismas selepas Kesatuan Pekerja Komunikasi menolak tawaran gaji daripada Royal Mail.

Lebih 70,000 kakitangan di universiti dan guru British di Scotland mengadakan bantahan Khamis lalu untuk menuntut gaji yang lebih baik.

Ribuan pekerja kereta api Britain akan melanjutkan mogok dalam tempoh dua bulan akan datang membabitkan pertikaian lama mengenai gaji, sekali gus memberi petanda gangguan perjalanan sebelum dan selepas tempoh cuti Krismas.

Ratusan pekerja di syarikat keselamatan Britain G4S mengundi untuk mogok selama 48 jam pada awal Disember ini dalam pertikaian mengenai gaji, memberi amaran tindakan itu boleh menyebabkan kekurangan aliran wang tunai ketika Krismas.

Di Jerman, Volkswagen bersetuju terhadap perjanjian gaji dua tahun bagi kira-kira 125,000 pekerja di kilangnya di barat Jerman, menawarkan kira-kira 8.5 peratus lebih bayaran gaji – di bawah kadar inflasi tetapi lebih banyak daripada tawaran majikan lain dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Kesatuan IG Metall Jerman bersetuju terhadap perjanjian gaji di bawah inflasi di wilayah kuasa besar dan menetapkan penanda aras untuk 3.9 juta pekerja sektor logam serta elektrik di seluruh negara.

Kesatuan sekerja Verdi berkata ia mencapai perjanjian gaji dengan syarikat tenaga RWE untuk kira-kira 18,000 pekerja termasuk bayaran sekali gus 3,000 euro (RM13,997) dan kenaikan gaji sekurang-kurangnya enam peratus mulai 1 Februari depan.

Lufthansa dan kesatuan UFO mencapai perjanjian gaji untuk 19,000 anak kapal kabin, menurut syarikat penerbangan Jerman itu.

Pengeluar kereta Jerman Audi memilih menawarkan pekerja bayaran sekali gus saja tanpa cukai dan bukannya kenaikan gaji tetap, kata pengarah sumber manusianya.

Di Belanda, BP berkata rancangan memulakan semula kilang penapisan besarnya di Rotterdam selepas ia ditutup kerana masalah teknikal, ditangguhkan selepas kesatuan sekerja berkata mereka tidak akan membantu dengan perkhidmatan kerana pertikaian gaji

Di Perancis, kesatuan sekerja UNAC dan SNGAF berkata mereka menggesa tindakan mogok atas keadaan kerja di Air France ketika cuti Krismas dari 22 Disember ini hingga 2 Januari depan.

Di Sepanyol, kumpulan kesatuan sekerja yang mewakili pembantu kedai di peruncit fesyen Zara melancarkan mogok dua hari membabitkan gaji ketika jualan ‘Black Friday’ pada 24 November dan 25 November di kedai di bandar syarikat itu diasaskan, di A Coruna, utara Sepanyol.

Ribuan rakyat Sepanyol memenuhi dataran Plaza Mayor yang terkenal di Madrid bagi menuntut gaji lebih tinggi, dalam protes besar-besaran pertama negara itu sejak bermulanya krisis kos sara hidup.

Di Portugal, ribuan doktor, jururawat, guru dan penjawat awam Portugal keluar untuk menuntut kenaikan gaji ketika inflasi melambung tinggi di negara itu.

Di Austria, pekerja logam akhirnya memperoleh purata kenaikan gaji tahunan tujuh peratus melebihi kadar inflasi 6.3 peratus untuk tempoh rundingan, yang mungkin menjadi tanda aras bagi sektor lain. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya