Kumpulan ‘enam jahanam’ tendang, pukul nenek ditahan polis - Utusan Malaysia

Kumpulan ‘enam jahanam’ tendang, pukul nenek ditahan polis

TANGKAP layar video yang menunjukkan sekumpulan pelajar menendang wanita warga emas sehingga terjatuh di Tapanuli Selatan, Sumatera Utara. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Tindakan biadab sekumpulan pelajar menendang seorang wanita warga emas sehingga terjatuh di Tapanuli Selatan, Sumatera Utara menyaksikan mereka ditahan polis.

Insiden itu mula menjadi tular selepas satu video yang dirakam seorang daripada pelajar tersebut dikongsi dalam media sosial.

Ketua Polis Tapanuli Selatan, Imam Zamroni mengesahkan seramai enam pelajar sudah ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden tersebut.

Katanya, terdapat dua video yang menunjukkan kumpulan remaja berkenaan tertawa selepas menendang wanita warga emas itu.

“Menerusi video pertama, kumpulan pelajar yang masih berpakaian sekolah sambil menaiki motosikal berhenti di tepi jalan.

“Mereka kemudiannya ternampak seorang wanita tua yang berjalan membawa karung guni, kemudian mereka berbual dengannya.

“Tiba-tiba, seorang daripada pelajar tersebut turun dari motosikal lalu menendang nenek itu sehingga terjatuh,” katanya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.

Dalam video kedua pula, wanita warga emas itu dilihat dipukul dengan kayu sehingga kayu tersebut patah.

Selain itu, polis turut merampas dua telefon bimbit milik pelajar berkenaan dan motosikal yang mereka naiki ketika kejadian.

Wanita warga emas itu pula dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

Dalam pada itu, Menteri Penyelaras Politik, Undang-Undang dan Hal Ehwal Keselamatan Indonesia, Mahfud MD meminta pihak berkuasa mengenakan hukuman tegas terhadap kumpulan pelajar berkenaan supaya tidak ditiru pihak lain.

“Apa yang mereka lakukan amat biadap, belum dewasa tetapi sudah bersikap demikian. nanti bila sudah besar, bagaimana pula perangai mereka?

“Diharapkan pihak berkuasa boleh kenakan hukuman setimpal kepada mereka supaya perbuatan itu tidak ditiru mana-mana pihak lain,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN