ROM: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun terpaksa merentasi Laut Mediterranean seorang diri selepas terpisah daripada ibu bapanya ketika mereka cuba menaiki bot pendatang dari Tunisia ke Itali.
Lapor The Guardian, kanak-kanak yang dikenali sebagai Linda oleh pihak berkuasa Itali, tiba di Pulau Lampedusa pada 17 Oktober lalu selepas 26 jam belayar di atas bot kayu yang dipenuhi 70 lagi pencari suaka dari Tunisia.
Pihak berkuasa di Tunisia sedang cuba menghantar anak kecil itu pulang selepas ibu bapanya diberi larangan perjalanan dan dituduh meninggalkan kanak-kanak bawah umur tanpa pengawasan.
“Linda sihat, dan dia berada di pusat komuniti untuk kanak-kanak di Palermo. Dia sentiasa bertanya tentang ibu bapanya dan bila dia akan dapat berjumpa dengan mereka lagi,”kata Ahli Parlimen Tunisia, Majdi Karbai, yang mewakili rakyat Tunisia di Itali.
Bagaimanapun menurut Majdi, usaha menghantar pulang Linda agak rumit kerana kanak-kanak itu berada di bawah perlindungan undang-undang penjaga tempatan dan dia kini tidak memahami apa yang berlaku serta mengalami kejutan emosi.
Majdi memaklumkan, bapa Linda yang merupakan penjaja makanan di Sayada mahu membawa keluarganya keluar dari Tunisia akibat masalah kewangan dan berusaha mencari bantuan perubatan di Eropah untuk kakak Linda yang mengalami masalah jantung.
Ketika mereka menunggu untuk menyeberang ke Itali, bapa Linda meletakkannya di atas bot dan terpaksa turun semula ke pinggir pantai untuk membantu ahli keluarga yang lain naik ke atas bot berkenaan.
Tetapi ketika itu pemandu bot ternampak sebuh trak yang disangkanya pihak berkuasa dan terus memacu bot berkenaan meninggalkan ahli keluarga Linda dan pendatang lain.
Ibu bapa Linda dituduh meninggalkan kanak-kanak bawah umur dan berdepan dakwaan pemerdagangan manusia namun mereka dibebaskan dari penjara selepas kerajaan Tunisia menerima berita ketibaan Linda di Lampedusa.
Hakim Mahkamah Sicily turut meminta laporan penuh insiden itu dihantar ke Palermo sebelum keputusan penghantaran pulang Linda dapat dibuat.