Hadapi musim sejuk terburuk, jutaan nyawa rakyat Ukraine terancam

Hadapi musim sejuk terburuk, jutaan nyawa rakyat Ukraine terancam

PENDUDUK menerima bantuan makanan di sebuah pusat pengagihan bekalan di Kherson. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Jutaan nyawa rakyat Ukraine bakal terancam menjelang musim sejuk akan datang ketika grid tenaga negara itu berdepan tekanan berikutan siri serangan Russia yang dahsyat.

Amaran itu dikeluarkan oleh Pengarah Serantau Eropah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Hans Kluge semasa lawatannya ke Kyiv.

Moscow ketika ini melakukan serangan besar-besaran menyasarkan infrastruktur tenaga dan melancarkan serangan peluru berpandu sehingga mengakibatkan bekalan elektrik kediaman terputus di seluruh negara ketika suhu menjunam.

Menurut Kluge, kerosakan itu mempunyai impak secara tidak langsung terhadap sistem kesihatan Ukraine.

“Musim sejuk ini adalah mengenai kelangsungan hidup. Malah, ia juga bakal mengancam nyawa jutaan penduduk di Ukraine,” katanya.

Kluge berkata, beliau menjangkakan sehingga tiga juta penduduk Ukraine bakal meninggalkan rumah mereka untuk mencari perlindungan.

“Mereka juga bakal berdepan cabaran kesihatan unik termasuk jangkitan pernafasan seperti Covid-19, radang paru-paru, influenza dan risiko serius difteria dan campak dalam kalangan populasi yang kurang vaksinasi,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menasihatkan rakyat perlu berjimat dalam menggunakan bekalan tenaga berikutan sumber yang semakin terhad.

Beliau juga menggalakkan rakyat negara ini berpindah ke tempat yang mempunyai kemudahan menghadapi musim sejuk bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya, kemungkinan rakyat Ukraine akan bergelap sepanjang masa bagi mengelakkan bekalan elektrik terputus secara total.

“Jika anda mempunyai tempat lain yang boleh ditujui untuk mendapatkan perlindungan sepanjang musim sejuk ini, anda digalakkan berbuat demikian.

“Kita perlu berjimat menggunakan bekalan kerana sumber yang ada semakin terhad, selain tentera Russia terus melancarkan serangan terhadap kemudahan penting,” ujarnya.

Sementara itu, pihak berkuasa Ukraine memaklumkan menemukan empat tapak penyeksaan Russia di bandar selatan Kherson.

Sejak pengunduran tentera Russia minggu lalu selepas pencerobohan selama hampir sembilan bulan, bukti mengerikan itu mula ditemukan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya