KYIV: Eksport bijirin akan dihentikan hari ini selepas Moscow menarik diri daripada perjanjian untuk membenarkan kapal melalui Laut Hitam.
Presiden Rusia Vladimir Putin turut menuntut ‘jaminan sebenar’ daripada Kyiv sebelum menyertai semula perjanjian itu.
Rusia mengumumkan pada Sabtu lalu bahawa negara itu menggantung pelibatannya dalam perjanjian tersebut dan menuduh Ukraine menyalahgunakan koridor perkapalan selamat itu untuk menyerang kapal Rusia di Crimea.
Kyiv bagaimanapun menolak dakwaan itu sebagai alasan Moscow untuk menarik diri.
Perjanjian yang diusahakan Turkiye bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dimeterai pada Julai oleh Kyiv dan Moscow, dan amat penting untuk mengurangkan krisis makanan global akibat peperangan yang berlaku.
Dalam panggilan telefon dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, Putin menuntut Kyiv memberikan ‘jaminan sebenar’ bahawa negara itu ‘tidak menggunakan koridor kemanusiaan untuk tujuan tentera’.
Tiada pergerakan kapal bijirin dirancang pada hari ini, menurut badan yang menyelia perjanjian eksport.
Namun, tiga lagi kapal kargo muatan bijirin sudah meninggalkan pelabuhan Ukraine semalam. – AFP