Donald Trump kembali ke Twitter - Utusan Malaysia

Donald Trump kembali ke Twitter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAN FRANCISCO: Akaun Twitter milik Donald Trump dikembalikan semula semalam selepas pemilik baharu platform itu Elon Musk menjalankan tinjauan yang menyaksikan majoriti tipis pengundi menyokong langkah tersebut.

Akaun Trump disekat daripada platform itu awal tahun lalu kerana peranannya dalam serangan 6 Januari dalam rusuhan di bangunan Capitol oleh sekumpulan penyokongnya yang berusaha untuk membatalkan keputusan pilihan raya 2020.

“Rakyat sudah menyatakan suara mereka. Trump akan dikembalikan semula,” ciap Musk, sejurus selepas tinjauan 24 jam Twitter pada akaunnya berakhir.

“Vox Populi, Vox Dei,” tambahnya, mengulangi pepatah Latin yang turut disiarkannya Jumaat lalu, yang bermaksud ‘Suara rakyat adalah suara Tuhan’.

Akhirnya, lebih 15 juta orang daripada 237 juta pengguna Twitter harian mengundi sama ada mahu mengembalikan semula profil kontroversi itu, dengan 51.8 peratus menyokong dan 48.2 peratus menentang.

Trump, yang mempunyai lebih 88 juta pengguna apabila akaunnya digantung, menggunakan Twitter sebagai jurucakap semasa menjadi presiden, menyiarkan pengumuman dasar, menyerang pesaing politik dan berkomunikasi dengan penyokong.

Semalam, beberapa sekutu politiknya menonjolkan kepulangannya di platform berkenaan.

“Selamat datang kembali, @realdonaldtrump!” ciap Ahli Kongres Republikan, Paul Gosar.

Tinjauan Musk meminta jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’ ringkas kepada kenyataan ‘Kembalikan semula bekas Presiden Trump’, yang disiarkan oleh bos Twitter jutawan itu Jumaat lalu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.